BEIJING: Kecerdasan buatan (AI) kini boleh meniru wajah dan suara orang ramai dengan realisme yang tinggi sekali gus mewujudkan cabaran baharu bagi undang-undang.
Mahkamah tertinggi China pada Isnin mengeluarkan garis panduan yang menyatakan bila atau ketika apa kandungan yang dijana AI sedemikian boleh membawa kepada liabiliti undang-undang, lapor Xinhua.
Garis panduan itu, yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rakyat Tertinggi (SPC), menangani pelbagai pertikaian yang timbul, termasuk pemalsuan wajah (deepfake) AI dan pengklonan suara, diskriminasi harga beralgoritma dan maklumat palsu yang dijana AI.
Panduan itu memberi kejelasan bahawa individu tidak boleh menggunakan AI pencipta atau mengedarkan replika digital orang lain yang boleh dikenali tanpa persetujuan mereka, termasuk wajah dan suara yang diklon.
Penggunaan sedemikian boleh melanggar hak individu, manakala menggunakan wajah atau suara yang dijana AI untuk menyebarkan tuntutan palsu atau merosakkan reputasi seseorang juga boleh mengakibatkan liabiliti undang-undang.
Peraturan itu digubal susulan penyamaran dijana AI semakin mudah untuk dibuat dan sukar untuk dibezakan daripada kandungan tulen.
“Kita tidak boleh mengharapkan setiap pengguna menjadi pakar dalam mengesan penipuan. Undang-undang mesti bertindak segera untuk melindungi hak dan kepentingan sah pengguna,” kata Zhou Jiahai, ketua pejabat penyelidikan SPC. – Bernama




