KUCHING: Pihak Mahkamah Syariah mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam menyelesaikan kes tuntutan harta pusaka peninggalan Allahyarham Mohd Yusup Mohd Taha oleh pewaris Mohamad Syahdad Yusup.
Ini kerana kes berkenaan melibatkan banyak badan berkanun, dan sensitiviti banyak pihak perlu dijaga.
Peguam Arip Ameran, dari Firma Guaman Arip Ameran, berkata kes berkaitan Masjid Kampung Haji Baki itu melibatkan Majlis Islam Sarawak (MIS), Pejabat Peguam Negeri Sarawak, selain Mohamad Syahdad Yusup.
“Jika dikira dari peringkat Mahkamah Tinggi, kes ini sudah mencapai tempoh 10 tahun namun tempoh dan proses ini merupakan proses biasa yang melibatkan Mahkamah Rayuan.
“Justeru, pihak mahkamah perlu mengambil pendekatan lebih berhati-hati kerana perlu melayani banyak pihak dan ia juga merupakan proses biasa di mahkamah,” jelasnya.
Ketika ditemui Utusan Sarawak di Pejabat Kehakiman Syariah di sini semalam, Arip memaklumkan kes sedemikian merupakan kes yang pertama di Sarawak dan ia dipanjangkan ke Mahkamah Rayuan kerana ada pihak yang kurang berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
“Isu yang ditimbulkan yang dituntut menjadi subjek tuntutan mahkamah ini berkaitan dengan harta pusaka namun, harta pusaka ini melibatkan beberapa kepentingan. Pada satu sudut ada kepentingan kepada pihak waris, kemudian kepentingan yang dituntut oleh waris ini melibatkan perkara yang di bawah kepentingan pihak lain.
“Misalnya, dalam konteks kes ini melibatkan masjid dan wakil dari pihak masjid dipanggil masuk dalam kes ini sebab kepentingan yang dituntut oleh waris ini berada pada tangan pihak masjid yang seterusnya mengaitkan pihak lain seperti MIS sebab masjid ini di bawah kuasa MIS.
“Apabila MIS masuk dalam kes ini, ia melibatkan kepentingan negeri dan apabila melibatkan kepentingan negeri maka pihak peguam negeri akan terlibat dalam kes ini yang akan mewakili agensi masing-masing,” jelasnya.
Syahdad menzahirkan harapan agar keputusan yang diberikan mengutamakan keadilan dalam membuat keputusan.
“Saya amat berpuas hati dengan peguam saya yang memberi perkhidmatan guaman dengan baik dan amat memuaskan.
“Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dalam tahun ini memandangkan ia sudah berlarutan lebih dari 10 tahun,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA