



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan akhir pendakwaan berhubung pembebasan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais mempengerusikan panel tiga hakim pada prosiding yang bermula 9.30 pagi.
Turut bersidang Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang baru mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Disember lepas.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang turut dibantu oleh Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq, 33, diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon dan Lim Wei Jiet.
Terdahulu, Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman pada 8.26 pagi dengan ditemani keluarga, penyokong dan penyanyi serta pelakon Bella Astillah.
Pada 25 Jun lepas, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Beliau turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. – Bernama