KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan 172 jam tangan ‘Pride Collection’ yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lepas, dikembalikan semula kepada syarikat pengimport dan penjual jam tangan, The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan The Swatch Group (Malaysia) selaku pemohon terhadap Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Amarjeet berkata mahkamah turut membenarkan permohonan oleh pemohon untuk membatalkan notis penyitaan atas alasan rampasan itu dibuat tanpa waran dan ia tidak sah.
“Oleh itu, mahkamah memerintahkan 172 jam tangan itu dikembalikan semula kepada pemohon dalam tempoh 14 hari bermula hari ini. Sekiranya terdapat kerosakan pada jam tangan berkenaan, pemohon boleh menuntut ganti rugi,” kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, peguam Nizam Bashir mewakili pemohon manakala Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili kesemua responden.
Pada 24 Jun 2023, The Swatch Group (Malaysia) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan KDN merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ yang didakwa dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Dalam permohonan itu, pemohon berkata rampasan kesemua jam tangan berkenaan tidak sah kerana barangan itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menurut syarikat itu, jam tangan dari reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan serta ia tidak mempromosikan sebarang gejala seksual.
Pada 13 dan 14 Mei 2023, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang didakwa dikaitkan dengan LGBT.
— BERNAMA