PARIS: Mahkamah Perancis semalam mengarahkan Google menghentikan projek yang didakwa membolehkan syarikat teknologi gergasi itu menyembunyikan beberapa rencana media lain daripada keputusan carian dalam talian.
Mahkamah Komersial Paris membuat keputusan itu susulan perintah injunksi kecemasan dimohon oleh Kesatuan Penerbit Majalah Perancis (SEPM), yang mewakili kakitangan majalah di Perancis.
Kesatuan itu mendakwa Google akan memulakan ujian pada Khamis bagi satu skim di mana ia akan ‘mengeluarkan atau menyembunyikan’ beberapa keputusan carian membabitkan media yang sedang berkonflik dengan Google, mengenai hak penggunaan berita dalam talian.
Bagaimanapun, Google menyatakan bahawa projek berkenaan adalah satu ‘ujian terhad’ untuk menilai pengaruh kandungan daripada penerbit-penerbit Eropah terhadap pengalaman carian dalam talian pengguna.
Google dan platform dalam talian lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini didakwa meraih keuntungan berbilion dolar daripada berita tanpa berkongsi pendapatan berkenaan dengan pihak yang mengumpulkan berita itu terutama media cetak.
Bagi menangani isu itu, Kesatuan Eropah (EU) mewujudkan bentuk hak cipta yang dikenali sebagai ‘hak terkait’, membolehkan media cetak menuntut pampasan bagi penggunaan kandungan mereka.
Perancis telah menjadi ujian kes bagi peraturan itu dan selepas penolakan awal, Google dan Facebook kedua-duanya bersetuju untuk membayar beberapa media Perancis bagi artikel yang dipaparkan dalam carian laman sesawang.
Google dan SEPM sudahpun berunding mengenai hak terkait selama beberapa tahun.
Pada Rabu, mahkamah Perancis mengarahkan Google LLC yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Google Ireland dan Google France untuk tidak meneruskan ujian skim yang dilaporkan itu, atau berisiko dikenakan denda 300,000 euro (RM1.4 juta) bagi setiap kesalahan, menurut perintah mahkamah yang dilihat AFP.
SEPM, yang mewakili 80 kumpulan media, menyambut baik perintah berkenaan, dan menyifakan ia sebagai langkah utama lagi berkesan dalam memelihara kepentingan akhbar Perancis.
Google berkata pihaknya ‘terkejut’ dengan pendirian SEPM, dan mengatakan bahawa tujuan mereka adalah hanya untuk mengumpul data.
“Ini kerana pihak berkuasa pentadbiran bebas dan penerbit akhbar meminta kami untuk memberikan lebih banyak maklumat mengenai kesan paparan kandungan berita dalam enjin carian kami,” katanya. – AFP