SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara enam bulan terhadap seorang pemandu pacuan empat roda atas pertuduhan memandu secara cuai serta tanpa perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan.
Tertuduh yang dikenali sebagai Wong, 46, gagal membayar denda tersebut dan diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan, tertuduh memohon menjalani hukuman penjara itu di Penjara Bintulu.
Berdasarkan pertuduhan, Wong didakwa memandu secara cuai serta tanpa perhatian sewajarnya pada 23 Oktober 2023, lebih kurang 6.00 petang di Bulatan Kanowit, Jalan KJD yang menuju ke arah bandar Sibu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang sabit kesalahan hendaklah dikendakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan juga penjara tidak lebih 12 bulan.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM300 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret kerana gagal menunjukkan pengenalan diri ketika diperiksa oleh pihak polis.
Entika Havit, 38, didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 November 2024, kira-kira 12.30 tengah hari di tepi jalan Tanahmas Avenue.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pihak polis telah menahan tertuduh di tepi jalan Tanahmas Avenue pada 30 November 2024, sekitar 12.30 tengah hari.
Tertuduh bagaimanapun gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan oleh pihak polis, sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.