
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga individu termasuk dua anak bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghadapi pertuduhan hari ini.
Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Muhammed Amir Zainuddin, 31, Muhammed Amin Zainuddin, 28, dan ahli perniagaan, Josephine Premla.
“Saya percaya penama-penama ada pengetahuan mengenai notis yang dikeluarkan SPRM tetapi mereka masih gagal untuk menghadirkan diri. Pemohonan pendakwaan mempunyai merit, dengan itu waran tangkap dikeluarkan,” katanya.
Semalam, SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas, antaranya menggerakkan Notis Merah kepada dua anak Tun Daim kerana gagal hadir memberikan keterangan sebagaimana yang diperintahkan melalui tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan bertarikh 13 Februari, 11 Mac dan 6 April 2026.
Josephine juga gagal hadir tanpa alasan yang memuaskan walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh SPRM.
Illi Marisqa berkata, setelah meneliti hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan serta merujuk kepada Seksyen 47 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah mendapati terdapat sebab untuk mempercayai bahawa penama-penama telah melarikan diri.
“Bagi penama Muhammed Amir dan Muhammed Amin, tiada dokumen sokongan untuk membuktikan mengenai ketidakhadiran mereka ke Pejabat SPRM dan daripada surat pertama sehingga surat peguam yang terakhir, tiada sebarang dokumen termasuk mengenai universiti, dan lain-lain untuk mengesahkan ketidakhadiran mereka, manakala penama ketiga (Josephine) surat mengenai lawatan ke luar negara juga tidak dilampirkan.
“Saya percaya penama-penama mempunyai pengetahuan mengenai siasatan oleh pihak SPRM melalui penyertaan peguam di dalam surat-menyurat antara mereka, namun setelah masa diberikan penama-penama masih gagal memberikan kerjasama,” katanya.
Terdahulu, Mahadi semasa mengemukakan hujahan mengenai permohonan waran tangkap itu berkata dua beradik itu gagal hadir di pejabat SPRM sebanyak tiga kali sejak diarahkan oleh SPRM pada 14 Februari lepas, manakala Josephine gagal hadir sebanyak dua kali.
Peguam Nizamuddin pula, yang membantah permohonan itu berkata Muhammed Amir dan Muhammed Amin sedang melanjutkan pengajian masing-masing dalam bidang undang-undang serta perakaunan di United Kingdom, dan SPRM telah memberikan notis yang singkat kepada anak guamnya sehingga mereka tidak sempat untuk memberikan maklum balas.
“Tiada sebarang makluman atau dokumen diperoleh oleh pihak kami yang menyatakan anak guam akan dituduh hari ini atau didakwa. Mereka hanya sepatutnya hadir untuk memberi keterangan. Dua anak guam saya adalah pelajar dan seorang lagi warga emas, mengapa mereka hendak melarikan diri?,” katanya.
Terdahulu, anak perempuan Tun Daim, Asnida Abdul Daim, 65, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan tidak mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat pada 2023.
Asnida bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad. – Bernama