Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Mahkamah benarkan rayuan kerajaan isu penyelarasan pencen pesara tentera
  • MAHKAMAH

Mahkamah benarkan rayuan kerajaan isu penyelarasan pencen pesara tentera

Utusan Sarawak 2 days ago

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan oleh kerajaan dan tiga pihak lain untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai penyelarasan pencen anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sebelum ini memihak kepada 50 bekas anggota Tentera Malaysia.

Keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hashim Hamzah memutuskan bahawa anggota tentera gagal membuktikan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia telah melanggar peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kami mendapati wujudnya asas kukuh dalam rayuan defendan yang mewajarkan campur tangan mahkamah rayuan,” kata Hashim yang bersidang bersama Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim.

Hashim berkata defendan tidak boleh dikatakan telah melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan kerana mereka tidak meletakkan plaintif dalam keadaan yang kurang menguntungkan.

Mahkamah membenarkan rayuan itu tanpa sebarang perintah mengenai kos guaman.

Wong pula berpandangan bahawa dua dokumen iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Pindaan Syarat-Syarat Perkhidmatan ATM bertarikh 17 Jan 2013 dan Surat Pelaksanaan Kesetaraan Pangkat dan Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum Maksimum bagi Perkhidmatan ATM di bawah SSM bertarikh 14 Mac 2013, bukan pelarasan gaji untuk pesara sebaliknya pindaan kepada syarat perkhidmatan bagi anggota ATM yang masih berkhidmat.

Beliau berkata tujuan pindaan itu adalah untuk menambah baik dan menyeragamkan skim gaji anggota sedang berkhidmat, bukan untuk mendiskriminasikan pesara yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Wong berkata tidak wujud layanan yang tidak setara antara pesara ATM bersara sebelum 1 Jan dan mereka bersara selepas 1 Jan 2013 kerana tiada pelarasan pencen dibuat bagi pesara selepas tarikh berkenaan.

Pada 5 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak untuk mendapatkan penyelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah ditetapkan bagi kesemua pesara ATM yang bersara selepas 1 Jan 2013.

Sebanyak 50 pesara ATM antaranya berpangkat mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet memfailkan saman itu pada 17 Nov 2022 dan menamakan kerajaan, perdana menteri, menteri kanan pertahanan dan Majlis ATM sebagai defendan.

Mereka mendakwa ketidakselarasan pencen itu menyebabkan jurang ketara antara pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan dan bersara selepas 1 Jan 2013.

Pada prosiding hari ini, Peguam Persekutuan M Kogilambigai mewakili pihak kerajaan manakala Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah mewakili pesara berkenaan.

Ketika ditemui selepas prosiding, Mohamed Haniff Khatri berkata pihaknya akan meneliti alasan penghakiman sebelum menentukan langkah seterusnya.– BERNAMA

Continue Reading

Previous: Hannah Yeoh menang saman fitnah
Next: Imuniti PM: Mahkamah tolak permohonan Anwar rujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.