
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan dua tokoh akademik yang mengetuai Badan Pemuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor menyerahkan writ saman kepada pelakon Rita Rudaini menerusi penyampaian ganti.
Saman itu difailkan oleh Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan Naib Yang Dipertuanya, Dr Saidah Haris @ Harith berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah yang dikeluarkan Rita, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar.
Antara kenyataan itu adalah berkaitan isu “prof kangkung” membabitkan pemimpin Muafakat berkenaan.
Peguam Datuk Adnan Seman, yang mewakili kedua-dua plaintif, berkata mahkamah membenarkan permohonan itu semalam kerana dua dokumen saman anak guamnya tidak dapat diserahkan kepada Rita di alamat terakhir yang diketahui.
“Plaintif kemudian membuat serahan dokumen mahkamah melalui aplikasi WhatsApp kepada defendan tetapi tiada kehadiran difailkan di mahkamah.
“Sehubungan itu, pada prosiding semalam, mahkamah membenarkan permohonan penyampaian ganti bagi membolehkan saman berkenaan diserahkan melalui kaedah alternatif,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Beliau berkata mahkamah memberi tempoh sebulan kepada plaintif untuk melaksanakan penyampaian ganti dan menetapkan pengurusan kes pada 26 Februari ini.
Pada 6 Dis tahun lepas, kedua-dua plaintif memfailkan saman terhadap Rita yang didakwa telah menyiarkan beberapa hantaran berunsur fitnah merujuk kepada mereka melalui akaun Instagram dan WhatsApp khususnya pada status aplikasi itu yang dimiliki defendan.
Mereka mendakwa kenyataan fitnah itu, yang telah diterbitkan di laman sosial peribadi plaintif, adalah tidak benar dan mendatangkan kerugian teruk kepada plaintif.
Kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan defendan mempunyai unsur niat jahat apabila ingin menjatuhkan reputasi mereka, selain defendan mengambil langkah untuk melontarkan kenyataan fitnah tersebut secara semberono dan tanpa bukti yang kukuh. – Bernama