
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memaklumkan bahawa keputusan mahkamah hari ini berhubung panggilan jaminan bank di bawah Perjanjian Jual Beli Gas Sarawak (GSA) dibuat atas alasan teknikal berkaitan instrumen jaminan bank semata-mata.
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, Petros menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi Kuching tidak membuat sebarang keputusan mengenai kesahan asas Perjanjian Jual Beli Gas Sarawak berkenaan.
“Mahkamah juga tidak memutuskan merit hujahan perlembagaan berkaitan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016).
“Keputusan Mahkamah Tinggi ini tidak menjejaskan keupayaan Petros untuk meneruskan tindakan undang-undang selanjutnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah DGO 2016,” menurut kenyataan tersebut.
Petros turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti penghakiman bertulis dengan teliti sebelum mempertimbangkan langkah undang-undang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang.
Untuk rekod, kes ini berpunca daripada tuntutan jaminan bank berjumlah RM7.95 juta di bawah Perjanjian Jual Beli Gas Sarawak 2020 (SGSA) antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Petros sebelum ini menangguhkan pembayaran atas pendirian bahawa Petronas dan anak syarikatnya perlu memohon lesen serta permit di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) untuk beroperasi di Sarawak, manakala Petronas berpendapat operasinya tertakluk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
Mahkamah dalam keputusan terbaharu hanya memutuskan isu berkaitan pelaksanaan jaminan bank berdasarkan sifat kontraktual instrumen tersebut, tanpa menyentuh atau menentukan kesahan DGO 2016, PDA 1974 mahupun pertikaian kuasa perundangan yang lebih luas, yang masih tertakluk kepada proses undang-undang selanjutnya.