
KUCHING: Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kewujudan mahkamah adat istiadat lain yang mempunyai kedudukan setara dengan Mahkamah Syariah, sekali gus meletakkan had jelas terhadap bidang kuasa dan autoriti perundangan mahkamah berkenaan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, Mahkamah Adat di Sarawak ditubuhkan melalui undang-undang negeri menerusi ordinan serta tertakluk kepada kelulusan DUN, berbeza dengan Mahkamah Syariah yang memperoleh kuasa terus dar ipada Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, perbezaan sumber kuasa tersebut menyebabkan Mahkamah Adat mempunyai peranan dan bidang kuasa tersendiri, khususnya berkaitan adat istiadat dan tanah adat, namun tidak berada pada kedudukan perundangan yang sama seperti Mahkamah Syariah.
“Mahkamah Syariah menerima autoriti daripada Perlembagaan Persekutuan, justeru kedudukannya setara dengan Mahkamah Sivil. Keadaan ini tidak terpakai kepada Mahkamah Adat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan syarahan perdana pada Persidangan Mahkamah Terbuka Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak (OSLYS) 2026 di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Dalam syarahan tersebut, Asfia turut menjelaskan terdapat pandangan daripada sesetengah kaum yang mengemukakan hasrat supaya mahkamah adat istiadat mereka dinaik taraf agar setara dengan Mahkamah Syariah.
Namun, katanya, perkara itu bukan mudah untuk direalisasikan kerana terikat dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, peruntukan perlembagaan tidak memberikan kuasa sedemikian sama ada kepada undang-undang Islam, adat hukum atau adat istiadat lain tanpa kurniaan autoriti yang khusus.
Oleh Norman B