KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan RM1.4 juta untuk membantu masyarakat yang terjejas akibat banjir di kawasan sekitar tiga lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.
Dalam kenyataan hari ini, katanya, ia telah membekalkan 1,000 khemah modular kepada setiap lapangan terbang berkenaan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diletakkan di pusat bantuan banjir bagi menyediakan perlindungan sementara kepada individu yang terpaksa dipindahkan.
“Selain memberikan sumbangan wang, MAHB turut bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi lain untuk mengagihkan bekalan asas kepada masyarakat yang terjejas, termasuk kit kebersihan dan makanan tidak mudah rosak.
“Pada masa akan datang, pakej bantuan akan turut meliputi set peralatan tempat tidur dan peralatan untuk terus menyokong usaha pemulihan segera,” katanya.
Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani berkata, syarikat itu bekerjasama erat dengan NADMA, GLC/GLIC dan agensi lain untuk memastikan bantuan disalurkan dengan pantas dan berkesan.
“Keutamaan kami untuk mendorong daya tahan rakyat ketika berdepan tempoh yang sukar ini,” katanya.
Langkah ini mencerminkan komitmen MAHB yang tidak berbelah bahagi untuk menyokong kakitangannya dan masyarakat setempat dalam tempoh yang mencabar ini. – Bernama