
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengeluarkan nasihat perjalanan untuk penumpang bagi perjalanan ke, dari atau transit menerusi beberapa lokasi Asia Barat susulan perkembangan ketegangan di rantau itu.
Sehubungan itu, para penumpang dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan terkini secara terus menerusi syarikat penerbangan masing-masing sebelum bertindak ke lapangan terbang.
Menurut MAHB, sekatan ruang udara di beberapa kawasan di rantau berkenaan juga berpotensi menyebabkan kelewatan, perubahan laluan atau pembatalan penerbangan berdasarkan penilaian keselamatan semasa oleh syarikat penerbangan.
“Di kawasan perkhidmatan yang terus beroperasi, semua jadual dan laluan penerbangan mungkin disemak semula dalam tempoh singkat. Para penumpang dinasihatkan untuk mengesahkan status penerbangan masing-masing secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang,” menurut kenyataan MAHB.
Hari ini, ketegangan di Asia Barat meningkat apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
Menurut MAHB, penumpang yang berhasrat melakukan perjalanan ke destinasi terjejas di Asia Barat juga diingatkan bahawa gangguan ini tidak hanya terhad kepada perkhidmatan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Walaupun perjalanan itu menerusi lokasi transit di luar rantau itu, penerbangan sambungan atau seterusnya ke destinasi terjejas mungkin digantung atau dikenakan sekatan. Oleh itu, mereka yang melakukan perjalanan dinasihatkan mengesahkan status keseluruhan perjalanan mereka, termasuk sektor penerbangan sambungan sebelum membuat sebarang perjalanan,” menurut MAHB.
Kalangan komuniti lapangan terbang, termasuk MAHB selaku pengendali dan syarikat penerbangan, pengendali di lapangan, pihak berkuasa kawal selia dan berkepentingan lapangan terbang berkaitan, juga sedang bekerjasama erat bagi memantau perkembangan itu.
“Pasukan di lapangan terbang diletakkan dalam keadaan bersedia untuk memberikan panduan selain menyelaras dengan syarikat penerbangan berkaitan pengaturan sewajarnya bagi membantu penumpang yang terjejas di terminal,” menurut MAHB.
Selain itu, MAHB turut menggalakkan penumpang untuk melakukan kemas kini dengan syarikat penerbangan masing-masing membabitkan maklumat bagi tujuan dihubungi selain memantau saluran rasmi syarikat penerbangan serta lapangan terbang untuk maklumat terkini.
Menyentuh maklumat hak penumpang, mereka terbabit boleh merujuk Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Mereka juga perlu merujuk nasihat perjalanan rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) sebelum melakukan sebarang perjalanan.
“Aspek keselamatan kekal menjadi paling penting dan penumpang dinasihatkan melakukan perancangan awal serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini,” menurut MAHB.
– Bernama