PADANG: Seorang mahasiswa yang tinggal di perkampungan terpencil di Pasia Laweh, terpaksa menaiki motosikal sejauh dua kilometer dan mendaki bukit setinggi 200 meter bagi menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan secara dalam talian.
Graduan Perbankan Syariah Institut Agama Islam Negeri (IAIN), Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Ahmad Krismon, 22, dan ibu bapanya terpaksa berbuat demikian berikutan ketiadaan akses internet di kawasan perkampungannya.
“Pihak kampus menjalankan majlis konvokesyen secara maya kerana kes Covid-19 di Indonesia yang terus mencatatkan peningkatan.
“Jadinya, selepas lengkap mengenakan jubah konvokesyen, saya bersama ibu bapa naik ke atas bukit bagi meraikan detik manis itu,” katanya dipetik daripada laporan berita Kompas.com.
Katanya, walaupun terpaksa bersusah payah untuk menyertai majlis konvokesyen itu, ia saat yang paling dinantikan kerana berjaya menamatkan pengajian.
“Saya berharap kemudahan internet di kampung ini dapat dipertingkatkan supaya masyarakat tidak perlu mendaki bukit untuk mendapatkan liputan.
“Jika masalah ini terus berlaku, ia menyukarkan penduduk mendapat akses maklumat dengan dunia luar,” katanya. – AFP