KUCHING: Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
Begitulah perumpamaan yang boleh dikaitkan dengan anak kedua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir yang dilihat mengikut jejak langkah ayah beliau.
Maharizan Mohd Chee, 38, terdahulu hadir pada Majlis Lantikan 13 Peguam Baharu yang telah disahkan jawatan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Alwi Abdul Wahab di Mahkamah Tinggi Kuching kelmarin.
Maharizan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Jurusan Undang-undang Universiti Multimedia Melaka (MMU) itu berbangga dan gembira kerana berjaya menangani cabaran bagi memenuhi impiannya menjadi seorang peguam bagi mengikut jejak langkah ayahnya yang merupakan seorang peguam yang berpengalaman.
“Syukur Alhamdulillah…Akhirnya impian dan cita-cita saya akhirnya tercapai apabila diterima masuk sebagai seorang peguam.
“Saya terdorong mengambil jurusan undang-undang apabila melihat ayah saya bekerja kuat dan penuh semangat dengan tugasnya,” katanya yang juga pemegang kelas pertama Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Pemasaran dan Pengurusan dari Universiti Curtin Miri.
Maharizan berkata beliau berjanji akan berazam untuk menjadi seorang peguam yang terkenal dan disegani.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut berkongsi kegembiraan bersama isteri, Meryani Yasin melahirkan perasaan gembira mereka sebaik sahaja anak kedua daripada enam beradik mereka itu diterima masuk sebagai peguam dalam satu majlis yang diadakan di sini kelmarin.
Chee Kadir memberitahu dia tidak pernah memaksa Maharizan untuk mengambil jurusan undang-undang.
“Saya gembira kejayaan Maharizan yang mengikut jejak saya sebagai seorang peguam dan amat paling membanggakan ialah apabila beliau menjadikan saya sebagai ‘role model’,” ujarnya.
Chee Kadir berkata, dia tidak pernah memaksa atau meletak sebarang tekanan untuk anak-anaknya mengikut jejak langkah beliau, biarpun mengetahui kerjaya sebagai pengamal undang-undang mampu memberi masa depan yang cerah.
“Saya berharap Maharizan akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin dalam kerjaya yang diceburi,” teganya kini masih menjadi seorang peguam sivil dan peguam syarie yang amat disegani di sini di bandaraya Miri biarpun beliau kini menceburi dunia politik.
Oleh Adi Safarman