
KUALA LUMPUR: Dalam usaha menyantuni masyarakat rentan, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) melaksanakan Program Ibadah Korban 2025 di tujuh negara, memberi manfaat kepada lebih 16,000 orang terjejas akibat bencana, peperangan dan kemiskinan tegar.
Dalam satu kenyataan, MAHAR memaklumkan program itu melibatkan pelaksanaan Ibadah Korban di tujuh negara iaitu Somalia, Kenya, Bangladesh, Thailand, Filipina, Malaysia dan rakyat Palestin yang berlindung di di Mesir.
Inisiatif tahunan MAHAR merupakan satu usaha menyantuni masyarakat rentan yang berdepan pelbagai cabaran seperti kekurangan zat makanan dan krisis kemanusiaan.
“Secara keseluruhan, lebih 16,000 individu bakal menerima manfaat daripada Program Ibadah Korban MAHAR 2025, menjadikannya antara pencapaian terbesar MAHAR dalam sejarah pelaksanaannya,” menurut kenyataan itu.
MAHAR berkata semua proses penyembelihan dan agihan korban dijalankan mengikut hukum syarak, mematuhi piawaian kesihatan serta diselia secara telus oleh rakan pelaksana bertauliah di negara-negara berkenaan.
Di Malaysia, agihan itu dilaksanakan secara tersusun melibatkan keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Sungai Besi, komuniti setempat melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Semerah serta pelarian Palestin dan Syria yang menetap di negara ini.
Selain itu, dua ekor lembu dikorbankan di Mesir untuk diagihkan kepada rakyat Palestin yang berlindung di negara berkenaan pada tahun ini.
“Sebahagian daripada daging korban itu turut diproses dan dibungkus dalam bentuk pek makanan untuk dihantar ke wilayah Gaza sebagai kesinambungan komitmen MAHAR dalam menyantuni mangsa konflik berpanjangan,” katanya.
MAHAR juga melaksanakan korban khas atas nama dan bagi pihak ahli, petugas, sukarelawan serta rakan media yang menunjukkan komitmen dan dedikasi luar biasa dalam menyokong misi-misi pertubuhan itu selama ini.
“Inisiatif ini bukan sahaja bersifat simbolik tetapi merupakan manifestasi keikhlasan kami dalam menghargai usaha bersama untuk menjayakan misi kemanusiaan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata Presiden MAHAR, Jismi Johari. — Bernama