
KUALA LUMPUR: Malam sabtu, menjadi ‘saksi penting’ kebangkitan legenda rock tanah air, Datuk Amy Search yang jelas masih lagi utuh dengan aura dan magisnya apabila berjaya menggegar Axiata Arena, sekali gus membuktikan bintang penyanyi ini belum lagi pudar sinarnya.
Biarpun konsert diadakan serentak dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC namun ternyata, karisma Raja Rock ini jauh melangkaui segalanya apabila perlawanan itu sedikit pun tidak menghalang lebih 4,000 peminat setianya untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri ‘detik penuh sejarah’ buat karier penyanyi ini sepanjang lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air.

Pertama kali menggoncang kehangatan pentas dengan konsert solo, Amy Search Magic, anak kelahiran Johor yang sinonim dengan fesyen ikonik ini membuktikan perubahan fizikal, umur sekali pun tidak menggugat kekuatan dan keunggulanya untuk memukau penonton biarpun usianya kini menginjak 67 tahun.
“Bersyukur di usia 67 tahun saya masih di pentas ini.. isteri saya antara yang sering tanya dan pujuk ‘Bila nak buat konsert solo? Tak berani ke?’, ini satu benda yang tak tahu bila lagi boleh buat, akhirnya impian tercapai,” katanya.
Masih kekal bertenaga dan alunan vokal penuh padu, bintang rock ini mempersembahkan 21 lagu termasuk medley dalam persalinan kot panjang paras lutut serba hitam selama hampir tiga jam dengan membuka tirai menyanyikan barisan lagu daripada pelbagai album solonya.

Gita Rama Sita disusuli Aku, Apa Saja, Suralaya Dalam D Major, Mengintai Kelawar, Ghairah serta Kau Bukan Sadura mengisi ruangan pertama persembahan pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman ini sekali gus menonjolkan sisi solo yang jarang dilihat selain menandakan persembahan lebih peribadi.
Lagu yang antaranya dipetik daripada album Magic dan Aku Amy itu, mungkin agak asing dan membuatkan segelintir penonton kurang biasa menjadikan situasi sedikit ‘bingung’ pada permulaan persembahan, namun mungkin Amy mahu memberi ruang kepada peminat untuk mengenali lebih dalam karya solonya.
” … konsert ini takkan sama dengan Search, takkan sama macam dengan korang (anggota Search) tapi ini (konsert solo) untuk korang … kita akan selalu happy,” katanya dalam rakaman video yang dipaparkan di layar pentas, antara lain mengimbau perjalanan seninya.
Bagaimanapun, kehangatan persembahan kian terasa pada jam kedua konsert apabila Amy mula menggegar suasana malam dengan lagu ‘berhantunya’ yang mencipta sejarah dalam industri muzik tanah air, bermula dengan Gadisku dan Rozana yang mendapat susunan muzik lebih segar di pentas Axiata Arena.
Terpukan dengan lunakan vokal bintang rock ini, sorakan penonton tidak terhenti dan Axiata Arena menjadi medan saksi peminatnya mengimbau kembali zaman kegemilangan Search, apabila vokalis kumpulan rock popular tanah air ini turut sama mendendangkan lagu ‘legenda’ yang kekal diminati hingga kini, Fantasia Bulan Madu disusuli Pawana.
Amy juga tidak ketinggalan mengejutkan peminatnya dengan medley penuh nostalgia, membawakan lagu ikonik yang pernah dipopularkan sahabat seninya, bermula dengan Suatu Masa nyanyian asal Datuk M. Nasir, diikuti Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), dan Sejuta Wajah (Sweet Charity), sebagai penghormatan.
Beraksi solo tanpa artis undangan, Amy terus memukau penonton dengan lagu-lagu hit dari pelbagai era dalam kariernya, antaranya, Kau Kepala Sotong, Apache, Kongkang, Rentak Laguku, dan Kalimah Cinta yang turut sama mengundang sorakan dan nyanyian beramai-ramai.
Persembahan diringi barisan pemuzik pimpinan penerbit konsert terkenal Jennifer Thompson itu diteruskan dengan lagu-lagu lain yang tidak kurang popularnya, seperti Tinggal Sepi, Aku Dah Bosan, dan Saat Yang Ku Idamkan, masing-masing membangkitkan kenangan manis peminat yang hadir.
Amy juga tidak ketinggalan menyampaikan Kerja Gila dan Tiada Lagi, dua lagu yang tetap relevan dengan peminat daripada pelbagai lapisan usia dan akhirnya, menutup persembahan dengan Isabella, lagu yang terus menjadi simbol kejayaan Search.
Pada usia emas dan tahap tenaga yang mungkin sedikit berkurang berbanding zaman kegemilangannya, semangat rock yang dibawanya tetap kuat dan terus menyuntik semangat rock yang sudah sebati dalam budaya muzik tanah air, membuatkan peminat lama dan baharu terus terpukau. – Bernama