KUCHING: Maggi baru-baru ini melancarkan Program Mentor Wanita Cukup Berani, sebuah program nasional yang dianjurkan hasil kolaborasi bersama Women Will oleh Google Malaysia.
Program ini bertujuan menyokong peningkatan keyakinan serta membina kemahiran digital, memasak dan keusahawanan asas.
Pelancaran program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad dan Ketua Wilayah bagi Nestle Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols; Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna dan Ketua Google Malaysia, Marc Woo.
Bercakap pada majlis pelancaran, Juan berkata, Program Mentor Wanita Cukup Berani ialah sebuah inisiatif kepada pemerkasaan wanita dalam penglibatan korporat dan juga masyarakat.
“Kami yakin bahawa wanita di Malaysia boleh melihat kepentingan dalam mencuba dalam pelbagai aspek dengan menyahut cabaran baharu dan mencapai matlamat mereka.
“Kami teruja dengan penyertaan tiga personaliti serta usahawan yang berjaya dan terkenal untuk membimbing dan memperkasakan peserta dalam mengambil langkah ke hadapan supaya menjadi lebih berani dan mencuba sesuatu yang baru,” tambah Juan lagi.
Juan turut berkata, program seumpama ini dapat membantu wanita meningkatkan keyakinan dalam penggunaan teknologi untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan mendidik mereka mengenai aspek kepimpinan, akumen perniagaan, komunikasi, produktiviti dan juga pemasaran digital.
“Kerjasama ini adalah penting kerana teknologi merupakan suatu kemahiran yang boleh meluaskan peluang ekonomi terutamanya perniagaan kecil yang kekurangan kemahiran dan modal,” ujarnya lagi.
Siri pertama bengkel dalam talian Program Mentor Wanita Cukup Berani akan bermula dari 1 hingga 3 September, diikuti dengan siri seterusnya mulai 20 hingga 22 Oktober.
Sepanjang bengkel 3 hari ini berlangsung, para peserta akan mempelajari kemahiran baharu yang akan meningkatkan lagi pengetahuan dan keyakinan mereka.
“Kami turut berasa gembira untuk bekerjasama dengan Maggi dan Nestle dalam memperjuangkan pemerkasaan wanita di Malaysia dan melengkapkan mereka dengan kemahiran digital yang bukan sahaja menjadi kunci kepada kejayaan, tapi juga suatu bidang pengetahuan yang mampu mewujudkan dunia yang lebih saksama,” kata Marc Woo pada majlis sama.
Sehingga kini, bengkel dalam talian Program Mentor Wanita Cukup Berani telah menerima sambutan yang menggalakkan melebihi 800 pendaftaran, yang mana tiga mentee yang berjaya melepasi sehingga ke pusingan akhir akan terpilih dan bakal dibimbing secara peribadi oleh Datin Paduka Eina Azman, Sheila Rusly dan Anne Idris.
Oleh Akmal Adib Yusup