KUCHING: Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) diminta tampil memberi penjelasan dan penyelesaian untuk isu harga tiket penerbangan yang mahal dan membebankan rakyat.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebelum ini, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menerima aduan kos penerbangan dari Miri – Mukah – Kuching melebihi RM1,000.
“MAG dinasihatkan untuk mencari punca dan penyelesaian untuk ini dan kendalikan sistem operasi mereka dengan bijak.
“Terdapat peningkatan penerbangan daripada pihak Malaysia Airlines Berhad (MAB) semasa sambutan Hari Raya. Ia melibatkan 14 penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching bagi tempoh 18 April hingga 7 Mei.
Lee berkata, sebahagian usaha bagi mengatasi isu harga tambang yang terlalu mahal, kekerapan penerbangan ke Sarawak ditambah dan beberapa laluan dalam negeri ini sempena musim perayaan Hari Raya dan Gawai Dayak.
“Sementara laluan Kota Kinabalu – Kuching ditambah satu penerbangan pada 20 April ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Lee juga menghadiri taklimat mengenai operasi Firefly di Sarawak yang akan melancarkan penerbangan harian bagi laluan Kota Kinabalu – Kuching berkuat kuasa 16 Mei akan datang.
Sementara itu, katanya MASWings telah melancarkan penerbangan terus baharu sebanyak dua kali seminggu untuk laluan Miri – Long Banga sejak 26 Mac lalu.
“Menurut MASWings, syarikat penerbangan itu juga membuat penerbangan tambahan ke Limbang dari Kuching semasa sambutan Hari Raya ini bermula dari 18 hingga 26 April ini manakala untuk Gawai Dayak bermula dari 28 Mei hingga 4 Jun,” tambahnya.
Maklum Lee menerusi kenyataan sama, perkara tersebut dipersetujui pada pertemuan antara Kementerian Pengangkutan Sarawak, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan MAG, baru-baru ini.
Pertemuan itu adalah untuk membincangkan mengenai Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) dan cadangan Rangkaian Pelan Jangka Panjang ‘Hybrid Flexi 3.0’ untuk RAS di Sarawak.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Dato Alice Jawan, Ketua Pegawai Eksekutif MAG Ahmad Luqman Mohd Azmi, Pengarah Pembangunan Penerbangan MAVCOM Jaffar Derus Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi MASWings Suresh Singam.
Oleh RYNNA SHA’ERRA