SAINT-ETIENNE: Seorang pembunuh Itali yang disabitkan bersalah, dipercayai anggota satu pertubuhan mafia paling berkuasa di negara itu, ditangkap semalam di Perancis selepas 16 tahun dalam pelarian, kata Interpol.
Edgardo Greco, 63, disyaki menganggotai kumpulan Ndrangheta, sebuah pertubuhan mafia yang berkuasa di Calabria, selatan Itali.
Interpol berkata, dia ditangkap di bandar Saint-Etienne, Perancis, di mana dia pernah membuka sebuah restoran Itali di bawah nama samaran, Caffe Rossini Ristorante, menurut pendakwa raya Perancis.
Malah pembukaan restorannya turut mendapat liputan pada 2021, tetapi kini sudah ditutup.
“Dia dikehendaki di Itali untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan Stefano dan Giuseppe Bartolomeo.
“Dia juga dituduh di sana atas cubaan membunuh Emiliano Mosciaro!ketika perang mafia antara kumpulan Pino Sena dan Perna Pranno pada awal 1990-an,” menurut Interpol.
Ndrangheta dianggap kumpulan mafia paling meluas dan berkuasa di Itali, beroperasi di seluruh dunia dan mempunyai hubungan kukuh dengan perdagangan kokain yang menuju ke Eropah dari Amerika Selatan.
Berdasarkan dokumen, Greco didapati menggunakan nama Paolo Dimitrio dan juga bekerja di restoran Itali lain di bandar itu.
Dalam masa yang sama, Greco juga bekerja pada waktu malam di sebuah restoran pizza di bawah nama yang diandaikan, menurut media Itali.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Piantedosi, yang dipetik dalam kenyataan Interpol, berkata penahanan itu menunjukkan komitmen negaranya untuk membanteras semua bentuk jenayah terancang dan mengesan pelarian berbahaya.
Penahanan Greco berlaku seminggu selepas polis Itali membongkar kumpulan mafia ‘Ndrangheta yang menguasai kawasan besar di selatan Calabria dan merampas aset melebihi AS$270 juta (RM1.1 bilion). – AFP