
KUCHING: Usaha memerangi HIV dan AIDS di Sarawak terus diperhebat apabila sebanyak RM3.5 juta berjaya dikumpul dalam Gala Kuching 2025 anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF) yang berlangsung di Hilton Kuching, malam ini.
Gala berprestij itu turut menyaksikan komitmen bersejarah kerajaan negeri Sarawak dengan peruntukan khas sebanyak RM2.25 juta bagi menyokong peluasan program Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) ke Bintulu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kejayaan membanteras HIV memerlukan pendekatan yang bersesuaian dengan realiti dan keperluan unik negeri ini.
“Saya dengan rasa berbesar hati mengumumkan peruntukan khas tiga tahun berjumlah RM2.25 juta daripada kerajaan negeri Sarawak untuk menyokong peluasan program Teratak Kasih Tok Nan.
“Dengan memberi tumpuan kepada penjangkauan berasaskan komuniti dan rawatan yang disasarkan, usaha ini mencerminkan pendekatan tempatan yang responsif memandangkan kepelbagaian geografi, budaya dan kerentanan masyarakat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dalam Majlis Makan Malam Gala MAF Kuching 2025 hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak tidak hanya akan menjadi negeri pertama bebas rabies tetapi juga negeri yang akan memastikan semua rakyatnya yang hidup dengan HIV mendapat akses rawatan yang adil dan bermaruah.
“Mesej kita jelas bahawa kita tidak akan biarkan sesiapa pun tercicir.
“Kita akan pastikan masyarakat kita mempunyai harapan, peluang dan masa depan yang lebih sihat,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Pemegang Amanah MAF, Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, dalam ucapannya menyifatkan gala itu bukan sekadar acara kutipan dana, malah lambang tekad bersama.
“Perkara ini untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam mendapatkan rawatan dan sokongan berkaitan HIV.
“Apa yang kita saksikan malam ini lebih daripada sekadar kemurahan hati, ia adalah pengukuhan tekad bersama terutamanya di kawasan seperti Bintulu di mana perkhidmatan masih sukar diakses,” jelasnya.
Untuk rekod, TKTN merupakan satu-satunya pusat sokongan HIV berasaskan komuniti di negeri ini sejak 2016 dan kini bakal diperluas dari Kuching dan Miri ke Bintulu menjelang tahun hadapan.
Pusat tersebut menyediakan perlindungan sementara, sokongan kesihatan mental, bimbingan rawatan dan menjalankan perkhidmatan penjangkauan melalui program SHAPE dan DHSKP.
Majlis tersebut turut mengiktiraf sumbangan rakan korporat seperti Kumpulan Sunway, Yayasan Petronas, Yayasan Sime Darby, Yayasan TM, PETRONAS LNG, Pekat Group, Affin Bank, Bintulu Port, TAS Offshore, Berjaya Corporation, Timberland Medical Centre dan Ibraco Berhad.
Turut hadir, tetamu kehormat yang lain, wakil-wakil Kementerian Kesihatan serta perwakilan antarabangsa dari negara-negara ASEAN sempena Dialog Serantau ASEAN mengenai HIV/AIDS.
Oleh Masrin Affirah