PAKAN: Penduduk luar bandar tidak seharusnya tercicir daripada kemajuan teknologi, khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan setara dengan masyarakat di kawasan bandar.
Timbalan Menteri Digital, Dato Wilson Ugak Kumbong berkata, pelaksanaan inisiatif Madaninet di klinik luar bandar merupakan antara langkah kerajaan merapatkan jurang digital menerusi peningkatan keupayaan kemudahan internet.
“Penganjuran program adalah bagi meningkatkan kecekapan operasi di klinik luar bandar serta merapatkan jurang digital dengan memastikan komuniti pendalaman menerima rawatan setaraf kawasan bandar.
“Dengan adanya Madaninet ini, akan memudahkan pihak klinik menyalurkan rekod perubatan kepada ibu pejabat dengan cepat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang berkata demikian ketika berucap pada Program Madaninet 2026 di Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara, semalam.
Katanya, kemudahan rangkaian yang lebih baik penting kepada operasi klinik kerana membolehkan maklumat dan rekod perubatan disalurkan dengan lebih pantas kepada pihak berkaitan.
“Kini kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam proses membaikpulih liputan jalur internet di seluruh kawasan Sarawak.
“Inisiatif Madaninet mencerminkan tekad kerajaan dalam memastikan kemajuan teknologi dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, selaras dengan visi besar memacu Malaysia ke arah Negara AI 2030,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan program di Pakan dapat membantu mempercepatkan proses meningkatkan kemudahan internet di klinik terpilih di daerah tersebut.
Wilson turut memberi jaminan pendekatan berkenaan akan diperluaskan ke kawasan luar bandar lain supaya pembangunan digital dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh.
“Program sebegini akan diteruskan di kawasan pedalaman yang lain bagi memastikan manfaat teknologi ini dirasai sepenuhnya oleh rakyat tanpa mengabaikan mana-mana kawasan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wilson yang pertama kali mengadakan kunjungan ke Daerah Pakan berkata, beliau melihat banyak kemajuan pembangunan telah dicapai di kawasan tersebut.
Beliau turut mengiktiraf usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dalam membawa pembangunan ke kawasan itu.
Wilson menyifatkan peranan Kementerian Digital semakin penting dalam mendepani keperluan masa hadapan apabila teknologi menjadi sebahagian daripada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat termasuk dalam sektor kesihatan.
Oleh Earl Anek





