PAKAN: Pengukuhan jaringan digital di klinik pedalaman terus diberi perhatian bagi mempercepatkan penyampaian maklumat dan pengurusan rekod pesakit, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat luar bandar.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata pelaksanaan Program Madaninet merupakan antara usaha kerajaan menyediakan kemudahan komunikasi digital yang lebih baik, terutama di kawasan yang berdepan kekangan jaringan.
“Usaha untuk mengukuhkan jaringan digital di kawasan pedalaman amat diberi perhatian.
“Program Madaninet merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi memudahkan penyampaian maklumat dan komunikasi,” katanya ketika berucap pada Program Madaninet 2026 di Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara, semalam.
Katanya, keupayaan rangkaian yang lebih baik membolehkan klinik mengurus dan menghantar rekod pesakit dengan lebih pantas, sekali gus melancarkan urusan dengan ibu pejabat.
“Dengan adanya Madaninet sebegini, segala urusan berkaitan rekod pesakit dapat dilakukan dengan lebih cepat.
“Ia juga akan memudahkan urusan klinik-klinik dengan ibu pejabat,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 21 Program Madaninet telah dilaksanakan di seluruh Malaysia setakat ini, termasuk enam di Sarawak.
“Setakat ini, 21 Program Madaninet telah dilaksanakan di seluruh Malaysia, termasuk enam di Sarawak, iaitu Klinik Kesihatan Ba’Kelalan, Klinik Kesihatan Balai (Bakam), Klinik Kesihatan Bario, Klinik Kesihatan Batu Danau, Klinik Kesihatan Pa’Dallih dan Klinik Kesihatan Paloh.
“Pada hari ini, Klinik Kesihatan Nanga Wak dan Klinik Kesihatan Nanga Kara menjadi lokasi pelaksanaan Program Madaninet,” katanya.
Pemilihan kedua-dua klinik berkenaan memperluaskan lagi pelaksanaan Madaninet di Sarawak, khususnya dalam usaha memastikan kemudahan kesihatan di kawasan pedalaman mempunyai jaringan komunikasi yang dapat menyokong kelancaran perkhidmatan.
Fabian berkata, usaha memperluaskan kemudahan berkenaan tidak akan terhenti di lokasi sedia ada, sebaliknya akan diteruskan ke klinik lain yang memerlukan kemudahan jaringan digital.
“Kementerian Digital akan memperluaskan program ini ke klinik-klinik pedalaman,” tambahnya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Digital Dato Wilson Ugak Kumbong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Banges Munga.
Oleh Earl Anek




