Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Machan bakal miliki kolam bot kawalan jauh pertama di Malaysia
  • Tengah
  • WILAYAH

Machan bakal miliki kolam bot kawalan jauh pertama di Malaysia

Utusan Sarawak 2 days ago
ALLAN Siden Gramong (kiri) menyampaikan Piala Allan Siden Gramong kepada juara bagi kelas C powerboat RC.


SIBU: Kawasan Machan bakal mencatat sejarah tersendiri apabila sebuah kolam buatan khas untuk aktiviti bot kawalan jauh kuasa tinggi akan dibangunkan, menjadikannya yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata kolam rekreasi tersebut akan dibina di kawasan Rumah Tamu Lama dengan anggaran kos RM700,000 dan kini dalam peringkat awal penyukatan tanah.

“Saiz kolam masih belum ditentukan namun kita akan cuba memastikan ia menepati piawaian antarabangsa.

“Inisiatif ini bukan sahaja untuk memperkasakan sukan RC powerboat, tetapi juga bertujuan memajukan kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penangguhan Cabaran Sungai Powerboat Kawalan Jauh (RC) Antarabangsa Sibu 2025 di Tebingan Sungai Pulau Li Hua di sini, semalam.

Menurut beliau, pihaknya sedang mengenal pasti perunding yang mempunyai kepakaran bagi memastikan reka bentuk dan pembinaan kolam itu memenuhi keperluan teknikal sukan tersebut.

“Memandangkan ini adalah projek pertama seumpamanya di negara ini, kita perlu melantik perunding yang benar-benar berpengalaman dalam pembangunan kolam khas untuk sukan RC powerboat,” ujarnya.

Allan berkata pembinaan kolam itu akan memberi manfaat besar kepada peminat sukan tersebut yang sebelum ini hanya bergantung kepada kolam terbiar yang tidak sesuai serta tidak dilengkapi kemudahan asas.

“Melalui projek ini, kita dapat menyediakan infrastruktur yang lebih selamat dan sesuai, sekali gus memudahkan penganjuran pertandingan serta menarik lebih ramai penyertaan dan peminat dari dalam dan luar negara,” jelasnya.

Tambah beliau, projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif pembangunan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kawasan Machan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun, tertakluk kepada kelulusan serta sokongan daripada agensi teknikal berkaitan,” katanya lagi.

Selain kolam utama, jelasnya, beberapa kemudahan sokongan lain seperti ruang niaga dan kawasan riadah turut dirancang bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan itu.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Hasbi gesa penduduk Limbang beri kerjasama jayakan Projek Lebuh Raya Trans Borneo
Next: Gangguan bekalan air di Serian, 29 Julai ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.