KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah memulakan langkah penstrukturan semula segera untuk terus relevan dan mengekalkan kelangsungannya selepas terpaksa bertindak menyemak semula rancangan perniagaan jangka panjang (LTBP) akibat pandemik Covid-19.
Pendekatan yang diambil termasuk menyusun semula rangkaian dan pesawat penerbangan nasional itu bagi membolehkannya mengharungi ketidaktentuan landskap penerbangan serta jangkaan penyusutan permintaan di masa-masa akan datang.
“Pelan ini yang memerlukan penstrukturan semula perniagaan dan struktur modal Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) yang menyeluruh, juga amat bergantung kepada peranan atau sumbangan individu dan semua pihak berkepentingan yang relevan. Ini penting dalam menyokong (usaha) kumpulan untuk keluar daripada krisis ini dengan mempunyai modal mencukupi serta keadaan kewangan yang baik,” kata MAB dalam satu kenyataan semalam.
Menerusi kenyataan itu juga, MAB mengesahkan sudah menghubungi pihak pemberi pajakannya, pemiutang dan pembekal utama berhubung langkah penstrukturan semula yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Namun, tegasnya, sekiranya usaha itu tidak membuahkan hasil, kumpulan tersebut tiada pilihan kecuali melaksanakan langkah lebih drastik.
Apabila MAB dan semua syarikat sekutunya di bawah MAG melancarkan LTBP pada awal 2019, kumpulan itu telah meraih pendapatan bersih selepas cukai (NIAT) menyeluruh yang lebih baik berbanding 2018 iaitu 18 peratus lebih awal daripada sasaran manakala pendapatan kumpulan meningkat 7.0 peratus tahun- pada tahun (YoY).
Menurutnya, peningkatan prestasi NIAT itu mampu dicapai walaupun dalam persekitaran harga bahan api yang tinggi, kenaikan pertukaran mata wang asing (forex) dan impak MFRS16 (standard perakaunan untuk pajakan).
Perolehan bagi tempat duduk kilometer tersedia (RASK) meningkat sebanyak 3.0 peratus manakala pulangan menokok sebanyak 5.0 peratus didorong oleh peningkatan 5.0 peratus dalam tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) YoY.
Syarikat penerbangan itu turut mencatat keputusan RASK pada separuh kedua 2019 yang merupakan RASK tertinggi dalam tempoh tiga tahun.
MAB berkata, ia turut mencatat peningkatan ketara operasi, melepasi sasaran prestasi mengikut masa pada 80 peratus dengan pencapaian sebanyak 83 peratus – angka terbaik sejak 2015 manakala isu kendalian bagasinya telah bertambah baik kepada 5.6 beg bagi setiap 1,000 penumpang iaitu terbaik sejak lima tahun lepas.
Indeks perkhidmatan penggunanya turut meningkat kepada 78 peratus yang juga terbaik dalam empat tahun sebelumnya manakala skor promoter bersih menokok kepada +14 berbanding -22 dalam tiga tahun terakhir ini.
Kumpulan itu juga dijangkakan meneruskan momentum baik pada 2020 namun Covid-19 telah menyebabkan berlakunya tindakan penutupan yang belum pernah berlaku di serata dunia sehingga memaksa syarikat penerbangan menggantung operasi dan hampir semua pesawat tidak dapat digunakan bagi sebahagian besar tempoh pada Mac hingga Jun tahun ini.
Pada kemuncak krisis Covid-19, MAG tetap meneruskan khidmat kepada negara dan pelanggan dengan mengekalkan beberapa hubungan domestik dan meminimumkan penerbangan antarabangsa, kebanyakannya bagi tujuan pergerakan penting, penerbangan pulang selain memastikan rantaian bekalan global dikekalkan menerusi operasi kargo.
Impak kewangan negatif itu menyebabkan kumpulan terpaksa bertindak mengurangkan kos dan mengawal tunai, termasuk melaksanakan potongan gaji yang ketara untuk keseluruhan pasukan pengurusan dan juruterbang, memperkenalkan cuti tanpa gaji, rundingan semula kontrak dalam usaha mengekalkan kelangsungan serta melindungi sebanyak mungkin pekerjaan yang ada.
MAB menjangkakan pandemik itu yang hanya menunjukkan tanda-tanda pemulihan kecil dan mencatat kemunculan semula di beberapa pasaran tanpa sebarang vaksin dihasilkan setakat ini serta sekatan sempadan yang masih dilaksanakan di pasaran utama, akan menjejaskan permintaan penerbangan santai dan perjalanan perniagaan dalam beberapa tahun akan datang.
“Sebagai penerbangan nasional, MAG berhasrat untuk memastikan wujudnya tahap kesalinghubungan berterusan untuk penumpang serta meminimumkan impak ke atas mata pencarian tenaga kerja serta pergantungan industri secara langsung dan tidak langsung terhadap operasinya,” katanya.- Bernama