
PUTRAJAYA: Senator Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menegaskan bahawa tuntutan Sarawak untuk mendapatkan kembali hak penuh ke atas sumber minyak dan gas negeri adalah berasaskan fakta sejarah serta perundangan yang sah, sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kenyataan tersebut dibuat susulan laporan Free Malaysia Today bertarikh 15 Mac lepas yang menyatakan Sarawak perlu menghentikan pertikaian mengenai hak Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) terhadap sumber tenaga negeri itu.
Senator Dato Ahmad Ibrahim menolak dakwaan tersebut, dengan menjelaskan bahawa pihaknya ingin membetulkan fakta yang mengelirukan berkaitan sejarah dan perundangan minyak serta gas Sarawak.
Menurut beliau, sebelum penyertaan Sarawak dalam Malaysia pada 1963, negeri itu sudah pun mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas sumber minyak dan gasnya, seperti yang dibuktikan menerusi Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) dan UNCLOS 1954.
“Sarawak telah punmemiliki hak eksklusif untuk mengurus, mengawal serta melesenkan aktiviti eksplorasi minyak dan gas dalam wilayahnya melalui OMO 1958.
“Selain itu, UNCLOS 1954 yang diterima pakai oleh Sarawak menetapkan pelantar benua negeri sejauh 200 batu nautika.
“Sebaliknya, Malaya pada waktu itu tidak mempunyai sebarang perundangan berkaitan hidrokarbon kerana tidak ada eksplorasi minyak dan gas di perairannya, membuktikan bahawa Sarawak telah lama memiliki rangka kerja undang-undang sendiri untuk mengurus sumber asli,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau turut mengkritik tindakan Kerajaan Persekutuan yang secara sepihak mengubah sempadan laut Sarawak pada 1969 tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sekali gus bertentangan dengan semangat MA63.
“Selepas insiden 13 Mei 1969, Kerajaan Persekutuan telah menggunakan kuasa darurat untuk mengehadkan sempadan laut Sarawak kepada hanya tiga batu nautika menerusi Ordinan Darurat No. 7/1969 pada 9 Ogos 1969 dan Ordinan Darurat No. 10/1969 pada 8 November 1969.
“Tindakan ini merampas kawalan Sarawak ke atas perairan dan sumber minyak serta gas negeri tanpa persetujuan, meskipun Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa sebarang perubahan sempadan negeri mesti mendapat kelulusan DUN dan Yang di-Pertua Negeri,” jelasnya.
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan MA63 tetapi juga menafikan hak Sarawak ke atas sumber asli yang sepatutnya kekal di bawah bidang kuasa negeri.
Selain itu, beliau menolak dakwaan bahawa perjanjian 1976 menyaksikan Sarawak menyerahkan hak minyak dan gas kepada PETRONAS secara sah, kerana perjanjian tersebut tidak dibawa untuk kelulusan DUN Sarawak.
Sehubungan itu, GPS menuntut agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas, menilai semula perubahan sempadan laut, serta memastikan sebarang rundingan mengenai sumber asli dijalankan dengan telus.
“Kami ingin menegaskan bahawa perjuangan GPS bukan sekadar soal kuasa, tetapi demi menegakkan keadilan berdasarkan perlembagaan.
“Kami berikrar untuk terus mempertahankan hak Sarawak sehingga keadilan ditegakkan,” katanya.
Turut hadir, Senator Susan Chemerai Anding, Michael Mujah Lihan, Rita Sarimah Patrick Insol, Pele Peter Tinggom, dan Robert Lau Hui Yew.