

KUALA LUMPUR: Tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih terus dibincangkan secara bersama di antara Kerajaan Persekutuan serta kerajaan Sarawak dan Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusuf berkata, perbincangan itu melalui platform rundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang telah ditubuhkan.
Menurutnya, sehingga kini, terdapat 26 tuntutan oleh kerajaan Sarawak yang dibincangkan di bawah platform perundingan Majlis MTPMA63.
“Status kemajuan bagi 26 tuntutan tersebut adalah seperti yang berikut, selesai sepenuhnya lapan tuntutan dan Kerajaan Madani, lima tuntutan.
“Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182),” katanya menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berkaitan status MA63 pada sidang Dewan Rakyat.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, kerajaan MADANI amat beriltizam dalam tiwikrama untuk menyegerakan penyelesaian kepada semua tuntutan di bawah MA63.
Namun begitu, katanya, tempoh masa bagi penyelesaian setiap tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan.
Selain itu, katanya lagi, tahap kesediaan kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia dan kewangan juga merupakan aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan.
“Semua isu-isu di bawah MA63 yang belum diselesaikan akan terus dipantau oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) selaku Sekretariat kepada MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 bersama dengan semua pemegang taruh (stakeholders) di peringkat Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.