Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • MA63: Sarawak perlu berani ambil langkah konkrit, bukan sekadar menunggu
  • SEMASA

MA63: Sarawak perlu berani ambil langkah konkrit, bukan sekadar menunggu

Utusan Sarawak 11 hours ago
ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.

SIBU: Sarawak perlu bertindak tegas dan berani dalam usaha menuntut semula hak-haknya yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selepas sekian lama menunggu janji Kerajaan Persekutuan yang masih belum ditunaikan sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sudah tiba masanya Sarawak mengambil langkah konkrit dan tidak lagi hanya menunggu hasil daripada rundingan dan jawatankuasa khas yang tidak membawa kemajuan bermakna.

“Sudah terlalu lama kita menunggu dengan sabar agar janji-janji itu ditunaikan. Namun setelah bertahun-tahun berbincang dan menubuhkan pelbagai jawatankuasa serta pasukan khas, hasilnya tetap mengecewakan,” katanya menerusi kenyataan medianya, hari ini.

Beliau menegaskan, kemajuan yang perlahan berpunca daripada keengganan Kerajaan Persekutuan memulangkan semula kuasa autonomi yang menjadi hak Sarawak dan Sabah sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia.

“Apabila bakat diketepikan dan keadilan digantikan dengan pilih kasih, kemajuan negara akan terjejas. Sarawak tidak boleh terus menunggu dan akhirnya terheret bersama kegagalan ekonomi dan sosial yang sedang melanda persekutuan,” kata beliau.

Wong turut menyatakan bahawa Sarawak kini mempunyai dua pilihan sama ada terus menunggu pilihan raya umum yang hanya berlaku setiap lima tahun atau bertindak dengan tegas melalui pengukuhan pengaruh politik Borneo dalam negara.

“Pilihan terbaik ialah bertindak berani dan memperkukuh perpaduan antara Sarawak dan Sabah untuk meningkatkan pengaruh politik di peringkat nasional. Berdasarkan prinsip rakan setara, kita mesti menuntut semula hak wakil dua pertiga yang sepatutnya menjadi milik kita,” tegasnya lagi.

Katanya, Borneo telah membuktikan bahawa pentadbiran yang baik tanpa politik perkauman mampu membawa kestabilan, kemakmuran dan perpaduan menjadikan Sarawak contoh kepada model Malaysia yang adil, inklusif dan berpandangan jauh.

“Sudah tiba masanya Borneo bangkit bukan sebagai pengikut, tetapi sebagai pemimpin. Masa depan kita mesti dibina oleh rakyat Sarawak dan Sabah sendiri yang bersatu, teguh dan berani menuntut hak serta masa depan mereka,” ujarnya.

Oleh Akun Giman

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: LBAS 2025: Titian ilmu dan peluang kerjaya untuk anak Sarawak
Next: Sarawak bakal bina kompleks khas ‘Bangunan Sarawak’ di Kuala Lumpur – Premier Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.