
Fadillah ketika ditemui media
BATU KAWA: Penubuhan Kerajaan Perpaduan membuktikan bahawa perbezaan ideologi politik tidak menjadi penghalang kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk mencapai titik persamaan dalam menyelesaikan isu-isu tertunggak, khususnya yang berkait dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof, pendekatan semasa membolehkan pelbagai perkara dapat dirundingkan secara terbuka tanpa batasan politik sekali gus memudahkan pelaksanaan dasar yang telah dipersetujui.
“Cabaran kita bukan hanya melibatkan perbezaan politik, tetapi juga perundangan kerana banyak perkara yang telah diputuskan sukar untuk diubah semula, apatah lagi ia melibatkan tafsiran undang-undang dan perlembagaan.
“Kejayaan terbesar kita setakat ini adalah pindaan Artikel 1(2) dan Perkara 160 Perlembagaan yang akhirnya berjaya memasukkan MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ke dalam tafsiran rasmi Perlembagaan.
“Dahulu MA63 langsung tidak disebut dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan. Hari ini, hasil rundingan dan penjelasan berterusan dengan semua Ahli Parlimen, pindaan itu berjaya diluluskan,” katanya semasa temu bual eksekutif bersempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Segudup, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, selepas kejayaan itu, kerajaan dapat mula bergerak kepada perkara lain, terutama yang berkaitan dengan pentadbiran, pendidikan dan kesihatan yang kini menjadi fokus utama Sarawak.
Beliau mengulas lanjut berkaitan kerajaan negeri mahu agar sebahagian kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan dikembalikan semula kepada Sarawak, dan perkara tersebut telah pun dipersetujui secara prinsip oleh Kabinet Persekutuan.
“Sekarang ini ia sedang diperhalusi di peringkat pentadbiran dan teknikal, namun secara dasarnya kita mahu kuasa ini diserahkan semula supaya pentadbiran lebih cekap dan menepati keperluan tempatan.
“Dalam sistem persekutuan, sebarang keputusan dasar perlu tertakluk kepada pandangan dan nasihat Peguam Negara, yang kadangkala berbeza dengan tafsiran dari pihak Sarawak.
“Ini juga antara sebab kenapa ada perkara yang sukar untuk dimuktamadkan kerana pandangan Peguam Negara tidak semestinya selari dengan hasrat negeri,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan jika sesuatu isu tidak dapat diselesaikan di peringkat jawatankuasa teknikal, ia akan dibawa ke peringkat lebih tinggi iaitu jawatankuasa majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Apabila dasar telah dipersetujui di peringkat itu dan Kabinet memberikan kelulusan, maka sepatutnya Peguam Negara perlu akur dan melaksanakannya.
“Beberapa tuntutan yang masih dalam peringkat perundingan termasuk isu royalti minyak dan gas, jumlah kerusi Parlimen untuk Sarawak, pengurusan Bintulu Port serta formula tetap agihan pembangunan bawah Perkara 112D Perlembagaan.
“Contohnya Pelabuhan Bintulu, pindaan dari segi perundangan telah dibuat dan dipersetujui, tetapi sekarang kita sedang berunding dari segi kewangan iaitu berapa pampasan yang perlu dibayar kepada Kerajaan Persekutuan atas pelaburan mereka sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau menyatakan bahawa kerajaan Sarawak tidak berhasrat membawa perkara-perkara tersebut ke mahkamah kecuali sebagai pilihan terakhir bagi mendapatkan tafsiran perundangan.
“Kita tidak mahu bertikai di mahkamah. Kalau dibawa pun, ia hanya untuk mendapatkan tafsiran undang-undang jika rundingan gagal dicapai di peringkat tertinggi.
“Macam bola sepak juga, kalau masa sebenar tak selesai, terpaksa tunggu penalti. Tapi kita harap tak sampai ke tahap tu,” katanya sambil berseloroh.
Oleh MASRIN AFFIRAH