KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil sikap terbuka dan bersedia menambah baik segala aspek pendidikan di Sarawak supaya selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, berikutan itu kementeriannya akan terus menjalankan program pendidikan yang memberi manafaat kepada Sarawak.
“Isu pendidikan di Sarawak menjadi keutamaan KPM terutama yang melibatkan pembangunan sekolah daif di negeri ini.
“Sudah pasti, kita bekerja keras untuk mengutamakan isu-isu pendidikan di Sarawak, seperti yang termaktub di dalam MA63 dan akses pendidikan yang berkait rapat dangan dengan pembangunan sekolah-sekolah daif di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan kunjugan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Selain itu katanya, dalam kunjungan hormat berkenaan, beberapa isu-isu pendidikan di Sarawak turut dibincangkan bersama Abang Johari.
“Dalam pertemuan ini, kami turut membincangkan mengenai pengalaman Sarawak berkaitan peneguhan inisiatif perpaduan dalam negara yang saya fikir juga sangat penting untuk kami terus jadikan ia komitmen bersama termasuk di peringkat nasional yang berkait rapat dengan perpaduan,”katanya.
Sementara itu, Fadhlina memberitahu, Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak kini kembali setelah penganjurannya tertangguh sebelum ini susulan penularan wabak Covid-19.
“Matlamat pertandingan bahas itu adalah bagi memupuk, memperkukuh dan memperkasa bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di negeri ini.
“Kita telah bersetuju untuk mewujudkan kembali Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak di Sarawak ini sebagai salah satu penganjuran besar,” katanya.
Katanya, program ini telah mendapat sokongan penuh Abang Johari.
Turut hadir , Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.
Oleh NUR AIN OTSMAN