Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MA63 hak perlembagaan, bukan politik murahan – Rodiyah
  • TEMPATAN

MA63 hak perlembagaan, bukan politik murahan – Rodiyah

Utusan Sarawak 2 hours ago
AHLI Parlimen (MP) Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

KUCHING: Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya hak-hak Sarawak dan Sabah sentiasa dihormati selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disifatkan amat bertepatan pada masanya.

Ahli Parlimen (MP) Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, menyambut baik dan menyokong sepenuhnya titah Seri Paduka Baginda yang menegaskan kepentingan menghormati hak negeri-negeri pengasas Malaysia, khususnya Sarawak dan Sabah.

“Saya menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan bahawa hak-hak Sarawak dan Sabah perlu sentiasa dihormati selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Titah ini amat bertepatan pada masanya dan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap semangat asal pembentukan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan yang diasaskan atas persetujuan, perkongsian kuasa dan penghormatan terhadap hak negeri-negeri pengasas,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa isu MA63 perlu dibincangkan secara matang dan berfakta, bukan dijadikan bahan polemik atau politik murahan oleh pihak-pihak yang tidak memahami sejarah serta peruntukan perlembagaan.

“Sehubungan itu, kenyataan atau pandangan daripada pihak yang tidak memahami sejarah, peruntukan perlembagaan serta kandungan MA63 seharusnya dihentikan.

“MA63 merupakan hak perlembagaan dan perlu ditangani secara bertanggungjawab demi kepentingan negara dan keharmonian Persekutuan,” tegasnya.

Mengulas peranan Parlimen, Rodiyah menegaskan bahawa institusi tersebut mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkukuh pelaksanaan MA63 melalui pindaan undang-undang, dasar yang adil serta peruntukan yang bersesuaian.

“Parlimen perlu menjadi medan perbahasan berprinsip dan berlandaskan fakta, bukan emosi atau kepentingan politik sempit.

“Pada masa yang sama, Parlimen juga harus berperanan sebagai medan pendidikan nasional agar kefahaman rakyat terhadap MA63 dapat diperkukuh,” jelasnya.

Rodiyah turut mengingatkan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong itu menegaskan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dan Sabah mestilah berasaskan semangat rakan pengasas, saling menghormati dan keadilan seperti yang termaktub dalam MA63.

“Pendekatan berpusat atau kenyataan yang menafikan hak negeri hanya akan menjejaskan kepercayaan dan hubungan antara wilayah.

“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati fakta sejarah dan perlembagaan serta menghentikan naratif yang mengelirukan rakyat atau merendahkan isu MA63 demi kepentingan politik jangka pendek,” ujarnya.

Beliau berharap titah Seri Paduka Baginda itu akan menjadi pemangkin kepada tindakan yang lebih tegas, konsisten dan menyeluruh dalam melaksanakan MA63, disertai komitmen politik yang tulen.

Reaksi tersebut diberikan susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen yang menekankan keperluan menghormati hak Sarawak dan Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 sebagai asas pembentukan Malaysia.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: ADUN Tamin sokong titah Agong, gesa MA63 dilaksanakan sepenuhnya
Next: MA63 asas kerjasama antara wilayah – Henry Sum Agong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.