
KUCHING: Cabaran utama untuk penambahan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah adalah perlu mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat, kata Datuk Amar Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri berkata isu ini yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam peringkat rundingan dan perbincangan.
“Perkara ini melibatkan pelbagai aspek termasuk pentafsiran perundangan, sekali gus menjadikannya lebih kompleks untuk dimuktamadkan dalam tempoh singkat.
“Penambahan kerusi Parlimen menjadi cabaran paling utama kerana sekiranya dipersetujui, ia perlu dibawa ke Dewan Rakyat dan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen. Maka, proses libat urus perlu diadakan.
“Dari segi dasar dan prinsip, Kerajaan Persekutuan mengiktiraf keperluan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, namun sejauh mana tuntutan itu dapat dipenuhi masih bergantung kepada rundingan yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Shell LiveWIRE di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Fadillah berkata sekiranya melibatkan penambahan kerusi Parlimen melebihi 25 peratus, ia memerlukan sokongan dua pertiga dan itu yang menjadi cabaran utama.
Beliau turut menjelaskan bahawa kelulusan penambahan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah pun diperoleh, namun perkara itu tetap perlu dibawa ke Parlimen untuk kelulusan lanjut.
“Kelulusan di Parlimen bagi perkara tertentu tidak memerlukan sokongan dua pertiga dan tidak menjadi cabaran besar.
“Namun, sekiranya melibatkan penambahan kerusi Parlimen melebihi 25 peratus, ia memerlukan sokongan dua pertiga dan itu yang menjadi cabaran utama,” jelasnya.
Mengulas isu autonomi kesihatan yang dibangkitkan sebelum ini oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Fadillah berkata perkara tersebut akan diperincikan dalam mesyuarat teknikal akan datang.
“Susulan perubahan komposisi Kabinet dan pelantikan semula Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, mesyuarat berkaitan akan dimulakan oleh menteri berkenaan sebelum dibawa ke jawatankuasa teknikal dan seterusnya ke Majlis Perundingan di peringkat tertinggi.
“Sebab menteri baru dilantik, kita beri ruang untuk beliau menyesuaikan diri terlebih dahulu sebelum mesyuarat dimuktamadkan,” katanya.
Beliau menambah, wakil Kementerian Ekonomi serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) turut terlibat dalam jawatankuasa berkaitan MA63 dan diwakili oleh pegawai masing-masing.
Untuk rekod, isu autonomi kesihatan Sarawak sebelum ini dibangkitkan oleh Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam mesyuarat jawatankuasa berkaitan MA63, apabila beliau meminta supaya wakil Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Kewangan turut dilibatkan bagi membolehkan keputusan dibuat.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa rundingan mengenai autonomi kesihatan seolah-olah berlarutan tanpa keputusan jelas.
MA63 yang dimeterai pada 1963 merupakan perjanjian asas pembentukan Malaysia, yang antara lain menjamin hak, autonomi serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan, termasuk aspek pentadbiran, perundangan dan perwakilan politik.
Oleh Masrin Affirah