PERJANJIAN Malaysia ditandatangani oleh (dari kiri) Tun Abang Haji Openg, Tun Jugah, Dato Bandar Abang Mustapa dan Ling Beng Siew. P.E.H. Pike (tiada dalam gambar) di London pada Julai 1963
TANPA angin, tanpa hujan tetapi tiba-tiba saja berdentum guruh dari arah Gunung Kinabalu dengan idea supaya satu Perjanjian Malaysia baharu dimeterai.
Perjanjian Malaysia sedia ada yang dikenali sebagai MA63, adalah perjanjian dan komitmen yang telah dipersetujui semua pihak sewaktu pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.
Entah apa asas diguna pakai oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat yang mencadangkan supaya kepemimpinan BN di Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu konon sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak-hak dan tuntutan negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu membuat saranan demikian ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Penampang 2 Julai lalu.
Tahukah Tok Mat bahawa MA63 ialah perjanjian antarabangsa yang didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970 di bawah Perjanjian bernombor 10760?
Tahukah Tok Mat bahawa sebarang perubahan dalam MA63 hanya boleh dibuat dengan perundingan dan persetujuan pihak-pihak yang menandatanganinya pada 9 Julai 1963?
MA63 bukan seperti barangan yang boleh ditawar-tawar. Ia satu perjanjian dan tanpa perjanjian itu, tiada negara bernama Malaysia.
Di London pada 7 Julai 1963, lima pihak menandatangani MA63 iaitu United Kingdom (UK), Persekutuan Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura (keluar Malaysia pada 1965).
Selama dua minggu rundingan itu berlangsung sebelum satu perjanjian ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London pada 9 Julai 1963 dan telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.
Lord Landsdowne, Harold Macmillan dan Ducan Sandys mewakili Kerajaan Britain sementara Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr Lim Swee Aun mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Wakil Sabah pula terdiri daripada Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohammad Fuad Stephen, W.K.H Jones, Khoo Siak Chiew, W.S Holley dan G.D Sundang manakala P.E.H Pike, Temenggung Jugah Barieng, Datu Bandar Abang Mustapha, Ling Beng Siew dan Tun Datu Abang Openg mewakili Sarawak. Pike adalah Peguam Negeri Sarawak ketika itu.
Singapura pula mewakilkan Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee.
Semua dah tahu sejarah ini, jika mereka membuat penyelidikan. Penulis terpaksa ulang ‘subjek sejarah’ ini kerana masih ada yang lupa atau buat-buat lupa sejarah bagaimana pembentukan sebuah negara bernama Malaysia.
Apa yang patut diberi tumpuan sekarang ialah usaha mengembalikan hak-hak yang terhakis dalam MA63 itu seperti yang sedang dilakukan kerajaan Sarawak sekarang.
Sabah baru-baru ini menghantar sekumpulan pakar undang-undang, penyelidik dan pegawai ke London untuk mencari dan mengkaji sebarang rujukan berkaitan hak negeri itu di bawah MA63.
Namun, Sarawak sudah berbuat demikian pada 2017 dengan menghantar pakar perundangan diketuai Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, kini Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan).
Sekarang, Sarawak sudah mula ‘menuai’ hasilnya apabila empat tuntutan dalam MA63 berjaya diselesaikan dengan Kerajaan Pusat seperti berikut:
1. Persetujuan rundingan di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA)
2. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum;
3. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak; dan
4. Pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang telah berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022.
Berikutan penyelesaian No.1, 2 & 3 diatas, Sarawak sudah meraih pendapatan hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas iaitu sebanyak
RM8.52 bilion dalam tempoh tiga tahun sejak 1 Januari 2019 hingga akhir tahun lalu.
Penyelesaian No.4 pula meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Berikutan itu, kerajaan Sarawak menukar nama jawatan Ketua Menteri kepada Premier Sarawak, yang tidak sama tarafnya seperti Ketua Menteri Melaka dan Pulau Pinang serta Menteri Besar di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Perkara ini juga harus difahami semua, bukan semata-mata melihat perkataan ‘Premier’ dari kaca mata yang sempit.
Namun, kerajaan Sarawak masih berunding untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya lima lagi tuntutan seperti berikut:
1. Isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak;
2. Cadangan pengiktirafan JKR Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182;
3. Cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Parlimen;
4. Cadangan keahlian wakil Kerajaan Sarawak dalam Lembaga Pengarah LHDN; dan
5. Perbincangan mengenai formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Untuk perkara No.4 diatas, sudah ada perkembangan positif seperti didedahkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini apabila pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah meminta nama wakil Sarawak untuk menduduki dalam Lembaga Pengarahnya.
Tetapi menurut Sharifah Hasidah, nama wakil tunggal dari Sarawak itu sudah dikemukakan Abang Johari sebelum ini.
Bab ini amat penting sekali supaya Sarawak akan tahu berapa hasil tahunan Kerajaan Persekutuan. Ini kerana mengikut MA63, hasil negara hendaklah dikongsi sama rata antara Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.
Untuk perkongsian peruntukan pembangunan, contohnya dalam Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang dibentangkan November lalu, mempunyai peruntukan berjumlah RM332.1 bilion.
Jika mengikut konsep perkongsian tiga wilayah, Sarawak dan Sabah, masing-masing sepatutnya dapat RM110.7 bilion. Tetapi Sarawak diagih hanya RM4.67 bilion, manakala Sabah RM5.16 bilion.
Itulah natijah.
Apa akan terjadi dengan semua perkara ini jika Perjanjian Malaysia baharu dimeterai?
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak