SUDAH masuk tahun baharu 2024, rakyat Sarawak mahu melihat apa yang dijanjikan 61 tahun lalu dikembalikan semula seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara konsisten, bukan retorik atau kenyataan politik semata-mata.
Seperti kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tuntutan yang dibuat Sarawak untuk mengembalikan hak adalah bersandarkan kepada empat dokumen penting dalam penubuhan negara Malaysia iaitu Perlembagaan Sarawak, MA63, Perlembagaan Malaysia dan Suruhanjaya Cobbold.
Kolum kali ini cuba mengupas apa yang sudah, sedang dalam rundingan dan isu yang belum dimuktamad, untuk dikembalikan kepada Bumi Kenyalang seperti janji MA63.
SELESAI
1. Persetujuan rundingan di antara kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA). Diselesaikan pada 7 Disember 2020 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia membuka peluang yang lebih luas kepada pembentukan dan pelaksanaan pelan induk gas yang komprehensif bagi Sarawak.
2. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum. Diselesaikan pada 8 Mei 2020, apabila kerajaan Sarawak dan Petronas mencapai kata sepakat untuk memilih penyelesaian luar mahkamah mengenai cukai jualan produk petroleum di Sarawak. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu berkata, kejayaan tersebut dicapai sejak usaha untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 bermula secara rasminya pada Disember 2018. Ini memberi impak besar kepada ekonomi Sarawak hingga melonjak pendapatan RM13.1 bilion sepanjang 2023, tertinggi dalam sejarah dengan sebahagian besarnya hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas yang bermula sejak 1 Januari 2019.
3. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak. Berkuat kuasa 1 Jun 2021, kerajaan Sarawak mempunyai kuasa penuh bagi mengawal selia aktiviti pengedaran gas di Sarawak selepas Kerajaan Persekutuan memberi pengecualian mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962. Ini berlaku ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin.
4. Pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang telah berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022 setelah diluluskan di Dewan Rakyat pada 14 Disember 2021 iaitu ketika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Pindaan itu meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu, sekali gus membuka jalan penukaran nama Ketua Menteri kepada Premier Sarawak.
5. Pengiktirafan JKR Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182. Ini diumumkan pada 4 Januari 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan melalui pengiktirafan itu, JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa melaksanakan tadbir urus secara sendiri bagi projek pembangunan Persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.
6. Formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Pada 20 Januari 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bagi peringkat awal peruntukan untuk Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta berbanding RM16 juta seperti yang diterima sebelum ini. Beliau juga memberi jaminan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditingkatkan pada kadar yang munasabah seperti termaktub dalam MA63.
7. Keahlian wakil kerajaan Sarawak dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Dewan Rakyat, pada 11 Oktober 2023, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai Anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Pada 23 Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Setiausaha Kewangan Negeri dilantik sebagai wakil Sarawak dalam ahli Lembaga Pengarah LHDN berkuat kuasa serta merta.
8. Pelabuhan Bintulu diserahkan secara rasmi kepada kerajaan negeri Sarawak pada Jun 2024. Kesepakatan bagi memuktamadkan penyerahan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan-Negeri di Kuching 8 Januari 2024 yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
TENGAH SELESAI
1. Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan semula 55 daripada 224 lot tanah yang telah diperoleh dari kerajaan Sabah dan Sarawak selaras dengan MA63, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof pada 18 Julai 2023. Daripada jumlah 55 lot tanah itu, 53 lot adalah di Sarawak dan dua lot di Sabah yang kebanyakannya dibeli Kerajaan Persekutuan sejak 30 tahun lalu. Bakinya masih dalam rundingan dan perbincangan.
2. Meskipun Putrajaya sudah mula memberi pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan buat Sarawak, kepada RM300 juta setahun berbanding hanya RM16 juta sebelum ini, mulai 28 November 2023, ia adalah pembayaran peringkat awal atau interim, sebelum satu formula khusus diumumkan nanti. Anwar sendiri mengakui ia interim dan sedang merangka formula jumlah yang munasabah. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini bertegas mahukan pemberian kadar yang munasabah. Apakah perlu Kerajaan Pusat membayar tunggakan yang tak berbayar sejak 1970, apabila bayaran itu dihentikan pada 1969? Siapa boleh dan mahu menjawab hal ini?
“Saya difahamkan Kerajaan Persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil. Harapan saya adalah agar mereka dapat memahami formula kita, yang saya nampak lebih adil kepada Kerajaan Persekutuan dan kita (Sarawak) berlandaskan kepada hasil kutipan yang diperoleh Kerajaan Pusat dari Sarawak. Sebagai contoh, duti setem yang dipungut Kerajaan Pusat walaupun ia hasilnya daripada transaksi yang berasaskan tanah kita dan tanah adalah aset kita,” kata Abang Johari sebelum ini.
BELUM SELESAI
1. Isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.
(Sebelum ini, ada Mahkamah Borneo dan Mahkamah Malaya di mana peguam dari luar Sarawak termasuk dari Semenanjung tidak dibenarkan menjalankan amalan guaman di negeri ini. Sarawak mahu mengekalkan peraturan itu dan juga dari aspek mengiktiraf Mahkamah Borneo.
Sarawak juga mahu pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman dirujuk kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) terlebih dahulu kerana itu adalah hak TYT Sarawak. Ia bagi menyimpan kuasa tertentu untuk menimbang calon yang dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman).
2. Cadangan pertambahan bilangan satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Parlimen.
(Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu kesemuanya mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Sarawak dan Sabah kini mempunyai jumlah 56 Ahli Parlimen (31 di Sarawak dan 25 di Sabah) iaitu merangkumi 25 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Jika satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, bermakna 78 kerusi sepatutnya dari Sarawak dan Sabah. Ini bermakna, perlu ditambah 22 kerusi Parlimen lagi di Sarawak dan Sabah untuk memenuhi keperluan 35 peratus. Diharapkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil kira keperluan untuk kuota 35 peratus kerusi di Parlimen diwakili Borneo apabila melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya dalam tahun ini.
Kita doakan semuanya selesai sebelum pilihan raya umum ke-16 pada 2027.
Biar Kerajaan Persekutuan bersilih ganti, tetapi agenda untuk menyelesaikan tuntutan MA63 tidak boleh ‘ikut selera’. Jadikannya tanggungjawab dan komitmen Putrajaya tak kira parti mana dan siapa memimpin negara.
Ini juga boleh menjadi pegangan mana-mana parti yang memerintah kerajaan Sarawak atau Sabah – kalau mahu sokongan, penuhi tuntutan MA63 sebagai syarat utama.
Sarawak hanya tuntut haknya, bukan rampas hak orang.
Kain cindai pengikat cinta,
Dipakai dara berlipat-lipatan;
Harap tuan mencapai cita,
Tidak terburai di tengah jalan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak