
PUTRAJAYA: Golongan M40 turut mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan mengurangkan kos sara hidup, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penurunan harga petrol RON95 serta penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara antara inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan M40, yang kebanyakannya menggunakan kenderaan seperti kereta dan melalui jalan bertol.
“Jadi kalau M40 kata sekarang ni kita hanya timbangkan B40 sahaja… kita mula dengan lebih rendah lagi, kita mula dengan kemiskinan tegar, lepas itu naik B40 (dan) sekarang naik M40.
“Jadi begitu keadaannya, itu yang saya kata kena sabar sikit dalam pelaksanaannya tetapi sekurang-kurangnya alhamdulillah untuk M40 ini. Baik RON95 dan tol itu, beri manfaat kepada M40 dan ke atas,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri dalam Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia berkata kerajaan bersetuju menangguh kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol sama.
Antara lebuh raya terlibat ialah Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE), Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuh Raya KL-Putrajaya (MEX).
Anwar turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan susulan rancangan penyasaran subsidi bahan api itu, dan rakyat Malaysia dijangka menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter bermula hujung September tahun ini, berbanding harga semasa RM2.05 seliter.
–Bernama