
KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dengan kerjasama Sarawak Skills telah melancarkan Program Pertanian Moden Lestari Melalui Teknousahawan Luar Bandar (SMART) 2025 di Sarawak Skills Kuching baru-baru ini.
Program ini merupakan sebahagian daripada Program Latihan dan Pembangunan ICT Luar Bandar yang bertujuan memperkasa komuniti luar bandar melalui pendedahan kepada teknologi Pertanian Pintar dan keusahawanan digital.
Majlis taklimat dan sesi pengenalan telah disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Wilayah M-FICORD, Atiqah Dolhan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program ini dalam membekalkan belia luar bandar dengan kemahiran yang selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Program ini bukan sahaja memberi latihan teknikal tetapi juga menyumbang kepada transformasi sosial dan ekonomi yang mampan di kawasan luar bandar.
“Program SMART akan dilaksanakan dalam tiga siri bermula di Kuching dari 16 Jun hingga 17 Julai, sebelum diteruskan di Limbang dan Miri.
“Sepanjang program, peserta akan didedahkan kepada teknologi pertanian moden, pembangunan keusahawanan dan kemahiran asas ICT,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sarawak Skills dilantik sebagai penyedia latihan rasmi bagi keseluruhan siri program ini.
M-FICORD turut menggesa semua peserta untuk memberikan komitmen penuh bagi menjayakan objektif program ini.
Melalui pelaksanaan program tersebut, kementerian berharap dapat melahirkan generasi agro usahawan luar bandar yang berpengetahuan, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi M-FICORD menerusi Arina Aidit (019-8472531) dan Hilma Rejer (019-8873061), atau Sarawak Skills menerusi Dympna (019-8987039).