LYON meneruskan penguasaan mereka sebagai pasukan wanita paling dominan di Eropah semalam, menewaskan Wolfsburg 3-1 dalam final Liga Juara-Juara Wanita UEFA untuk menjulang trofi buat tahun kelima berturut-turut dengan gol bintang dari Jepun, Saki Kumagai terbukti penting.
Kumagai menjaringkan gol setelah Eugenie Le Sommer meletakkan pasukan di Perancis itu di hadapan di San Sebastian, memberikan Lyon kelebihan 2-0 ketika rehat dan meninggalkan Wolfsburg dengan tugas berat walaupun Alexandra Popp berjaya merapatkan jurang dalam babak kedua.
Percubaan tengah pemain dari Iceland, Sara Bjork Gunnarsdottir memastikan kemenangan untuk Lyon, yang mana mahkota Liga Juara-Juara kelima berturut-turut mereka merupakan yang ketujuh secara keseluruhan sekali gus menjadi rekod.
Lima kejuaraan berturut-turut menyaksikan mereka menyamai prestasi yang dicapai oleh pasukan lelaki Real Madrid antara 1956 dan 1960, pada awal Piala Eropah.
Kemenangan terbaru Lyon mengesahkan status mereka sebagai pasukan kelab terbaik di Eropah walaupun pesaing di seluruh Eropah meningkatkan pelaburan mereka dalam permainan wanita.
Pasukan Jean-Luc Vasseur sebelumnya mengalahkan Bayern Munich dan Paris Saint-Germain dalam ‘Final Eight’ di Negara Basque, Sepanyol, bermain tanpa kehadiran penyokong kerana wabak Covid-19.
Mereka juga berjaya mengalahkan Paris SG untuk merebut gelaran Perancis ke-14 berturut-turut tahun ini dan mengalahkan pasukan yang sama menerusi penentuan sepakan penalti dalam final Piala Perancis.
Kemenangan ini, menentang pasukan yang memenangi dua gelaran domestik Jerman dan tidak tewas dalam 40 perlawanan sebelum final, menunjukkan kekuatan skuad mereka.
Lyon kehilangan empat bintang utama, dengan duo Perancis, Griedge Mbock dan Amandine Henry mengalami kecederaan dan pemenang Ballon d’Or dari Norway, 2018, Ada Hegerberg tidak cergas sepenuhnya serta penyerang England, Nikita Parris digantung perlawanan.
Mereka kini tidak tewas dalam 65 perlawanan yang berlangsung selama dua tahun, dan ini juga merupakan kali ketiga di mana Lyon mengalahkan Wolfsburg dalam aski final, membuat pasukan dari Jerman mencari mahkota Liga Juara-Juara ketiga untuk menyamai pencapaian pada 2013, ketika mereka mengalahkan OL. – AFP