NAMA Muhd. Luqman Daniel Mohd. Roji, 18 sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Melihat kepada penguasaannya dalam acara berbasikal, sama ada pembabitan dalam pertandingan berstatus tempatan mahupun antarabangsa.
Tampak jelas, kredebiliti bintang muda ini semakin menyerlah kewibawaannya sekali gus, peningkatan pencapaian dari semasa ke semasa berupaya meletakkannya dirinya di kelas tersendiri.
“Masa mengubah segalanya, memang minat mendalam terhadap sukan berbasikal ini telah lama berputik dalam diri saya.
“Lantaran, sehingga ke hari ini berkat usaha serta kerja keras saya yang turut disaluti komitmen jitu ketika menjalani latihan seakan menjadi daya penjentik perubahan sebagai mana yang disaksikan ketika ini,” ujar Luqman tatkala merungkai bual bicara.
Lain pula sokongan keluarga terutama kedua ibu bapa disebalik penglibatan dirinya dalam acara sukan yang menuntut jadi diri yang tinggi itu.
Luqman akui, bukan mudah untuk menggapai sesuatu yang diinginkan apatah lagi dalam keadaan prestasi dirinya berada ditahap kemuncak ketika ini.
“Apa yang penting sentiasa fokus terhadap tanggungjawab terutama ketika menjalani latihan sepanjang masa.
“Selain sentiasa memperhebatkan diri dengan peka akan perkembangan semasa bagi dunia sukan berbasikal,” tambah beliau.
Muhd. Luqman Daniel bakal beraksi di temasya berprestij negara, Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 14 Mac 2021.
Oleh yang demikian katanya, tempoh Sembilan bulan yang ada harus dipergunakan sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri.
“Ada masa Sembilan bulan lagi untuk saya mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya berkenaan.
“Dan saya melihat masa yang ada harus dipergunakan dengan sebaik mungkin,” tambahnya.
Sambil cuba merujuk kembali kemunculan musibah luar jangkaan dengan penularan virus berbahaya ‘Covid-19’ yang melanda negara dan dunia.
Masalah tersebut nyata menganggu tumpuannya untuk melaburkan kudrat dengan sepenuhnya.
“Bayangkan lebih tiga bulan tidak menjalani latihan secara komprehensif gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun, ia bukan alasan untuk saya mudah hilang fokus malah tampil dengan pendekatan tersendiri,” ujarnya.
Pada erti kata sebenar, beliau mengatasi kekurangan tersebut berpandu kepada pengalaman yang ada.
Tegas Luqman, bermula dari situ kematangan seseorang akan lebih terserlah untuk maju dalam bidang yang diceburi.
Menurut Luqman, tiada istilah menyerah sebelum berjuang yang tertanam dalam sanubarinya.
Maka, berpaksi kepada kata-kata azimat berkenaan diharap berupaya menghadir kejayaan pada dirinya yang akan bersaing dalam beberapa acara kegemaraannya seperti Ujian Masa Individu 40 kilometer, Kriterium dan Trek pada kejohanan dwitahunan negara itu nanti.
Oleh Faizal Bujang