KUCHING: Sebanyak 10 kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4.00 petang ini, dengan Lundu mencatat bacaan tertinggi iaitu 173.
Berdasarkan data terkini, Lubok Antu merekodkan bacaan kedua tertinggi pada 166, diikuti IPD Serian (165), Sri Aman (161), Kuching (160) dan Mukah (154).
Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Samarahan dengan bacaan 135, Bintulu (130), Sibu (129) dan Tebedu (112).
Sementara itu, lapan kawasan lain merekodkan tahap sederhana iaitu Sarikei (98), Samalaju (92), ILP Miri dan Lawas masing-masing 85, Miri (82), Limbang (74), Kapit (70) serta Bario (61).
Bacaan terkini menunjukkan keadaan jerebu masih memberi kesan di beberapa bahagian Sarawak, khususnya di kawasan selatan negeri apabila enam lokasi mencatatkan IPU melebihi 150.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Orang ramai terutama golongan berisiko tinggi disaran mengurangkan aktiviti luar sekiranya berada di kawasan yang mencatatkan tahap pencemaran udara tidak sihat.





