Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Lulusan ABM CIDB 100 peratus dapat kerja
  • NASIONAL

Lulusan ABM CIDB 100 peratus dapat kerja

Utusan Sarawak 16 hours ago
DATUK Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Menteri Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan CIDB di Kuching, hari ini

KUCHING: Lulusan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mencatatkan kebolehpasaran kerja 100 peratus, sekali gus membuktikan bidang kemahiran pembinaan terus menjadi pilihan relevan dalam pasaran pekerjaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pencapaian tersebut dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Nasional yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, sektor pembinaan sentiasa memerlukan tenaga mahir, justeru belia terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran menceburi bidang TVET bagi meningkatkan pendapatan masa depan.

“Kalau kita ada kemahiran tinggi, kita akan dapat gaji tinggi. Kalau tiada kemahiran, kita hanya kerja bergaji rendah yang memberi kesan kepada pendapatan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Menteri Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan CIDB di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Ahmad berkata, ABM menawarkan sebanyak 58 kursus TVET dalam bidang pembinaan di seluruh negara, dengan 41 kursus ditawarkan di Sarawak.

Antara kursus popular di Sarawak termasuk ‘slinger and rigger’ dengan 277 ambilan, diikuti operator kren (180) dan pendawaian fasa tunggal (113).

Bagi kursus personel binaan pula, bidang penyaman udara dan pengudaraan mekanikal mencatat 198 pelatih, diikuti ‘chargeman’ (173) dan pelukis pelan seni bina (172).

Sehingga Februari 2026, seramai 1,376 pelatih sedang mengikuti latihan kompetensi kemahiran belia di seluruh negara, manakala 1,255 lagi dalam kategori personel binaan.

Di Sarawak, jumlah pelatih semasa ialah 116 bagi kategori belia dan 125 bagi personel binaan.

Dalam tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025, seramai 5,927 pelatih belia dan 13,699 personel binaan telah menamatkan pengajian di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, ABM Sarawak merekodkan 365 graduan belia dan 837 graduan personel binaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga berhasrat mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.

“Cara untuk kurangkan buruh asing ialah beri kemahiran kepada anak tempatan supaya mereka mendapat gaji tinggi dan pekerjaan ini menjadi lebih menarik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan lesen kontraktor G1 masih dibuka dan keutamaan diberikan kepada individu yang memiliki kemahiran pembinaan, khususnya lepasan ABM.

“Oleh itu, kita galakkan mereka bukan sahaja mahir dalam teknikal, tetapi juga dilengkapi kemahiran pengurusan supaya tidak menjadi kontraktor bermasalah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata hanya 4.1 peratus atau 35 daripada 855 projek di seluruh negara dikategorikan sebagai projek sakit, dengan 75 peratus daripadanya berpunca daripada kelemahan pengurusan kontraktor.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Aidilfitri beri limpahan rezeki kepada pengusaha biskut raya
Next: UMNO buka pintu terima semula ahli lama, tokoh politik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.