Pengurus Aston Villa, Steven Gerrard mengakui dia lega apabila mencipta kemenangan pertama sebagai pengurus menerusi gol lewat permainan Ollie Watkins dan Tyrone Mings yang memberikan kemenangan 2-0 mengatasi Brighton.
Gerrard mengemudi Villa dalam perlawanan sulung selepas meninggalkan juara Scotland, Rangers ketika rehat saingan antarabangsa menggantikan Dean Smith.
Bekas bintang Liverpool itu menyaksikan Watkins dan Mings meledak pada minit akhir yang memberikan Villa kemenangan pertama dalam enam aksi Liga Perdana.
Smith dipecat selepas lima kekalahan berturut-turut dalam liga, namun Gerrard membuat impak segera apabila Villa mendaki empat mata daripada zon penyingkiran.
Gerrard ialah pengurus pertama Villa mengemudi pasukan untuk menang saingan sulung Liga Perdana sejak John Gregory pada 1998.
“Ia perasaan bercampur-campur. Ia gabungan keseronokan, lega dan bangga,” kata Gerrard.
“Saya tidak boleh lebih bangga daripada pemain. Ini minggu yang besar, perlawanan yang besar buat pasukan yang tewas lima kali berturut-turut sebelum ini,” Katanya.
Sementara itu, Chelsea menang 3-0 di Leicester ketika sepakan padu N’Golo Kante membantu pendahulu Liga Perdana itu mencipta jurang empat mata di persada.
Antonio Rudiger membuka jaringan dan cubaan dari luar kotak penalti Kante memberikan Chelsea kawalan permainan sebelum Christian Pulisic masuk dari bangku simpanan dan menjaringkan gol pada babak kedua.
Skuad kendalian Thomas Tuchel kini tidak tewas dalam sembilan perlawanan terakhir semua kejohanan selepas merasai kekecewaan seri 1-1 berdepan Burnley sebelum rehat saingan antarabangsa.
Persembahan hebat Chelsea adalah jawapan sempurna kepada Pengurus Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino yang baru-baru ini mendakwa juara Ertopah itu sebagai pasukan “bercorak bertahan”.
Ia adalah persiapan sesuai bagi minggu besar yang menampilkan aksi Liga Juara-Juara bertemu Juventus pada awal pagi Rabu depan sebelum menanti kunjungan Manchester United ke Stamford Bridge pada 28 November.
“Ia keputusan di tempat lawan yang bagus, keputusan yang hebat. Kami mencipta banyak peluang,” kata Tuchel.
“Kami tahu perlu menjadi kuat sejak minit pertama hingga terakhir. Inilah yang kami lakukan.
“N’Golo menakjubkan. Dia menemui satu lagi ‘gear’ di padang, apabila dia bermain dengan minda yang tenang, dia boleh mencipta kelainan.”-AFP