Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Lukisan seram jadi luahan jiwa, terapi minda Miman
  • RENCANA

Lukisan seram jadi luahan jiwa, terapi minda Miman

Utusan Sarawak 3 weeks ago

PELUKIS Aiman Zamri 29, bersama seni lukis berunsurkan surealisme ketika ditemui di kediamannya di Bandar Puteri Klang, baru-baru ini. Karya sureal merujuk hasil seni seperti lukisan, sastera dan filem yang menggabungkan elemen realiti dengan mimpi, imaginasi atau alam bawah sedar dengan menampilkan imej atau situasi pelik, tidak logik atau luar biasa seolah-olah datang dari mimpi atau khayalan. Foto BERNAMA

MENAKUTKAN dan menyeramkan. Malah ada yang menggangap subjek lukisan artis berusia 29 tahun ini sebagai lakaran hantu atau lembaga yang mengandungi unsur mistik. 

Menonjolkan pelbagai ilusi janggal seperti subjek dengan wajah gelap, rambut kusut-masai, bilangan mata berganda serta ekspresi wajah dan renungan tajam, karya pelukis Aiman Zamri mampu menaikkan bulu roma. 

Namun bagi artis berbakat ini, karya seni berunsur surealisme itu bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi sebagai cerminan emosi dan luahan jiwa yang diterjemahkan dalam seni lukisan. 

“Lukisan begini gaya tersendiri saya sepanjang tujuh tahun penglibatan dalam bidang ini. Dalam setahun saya hasilkan kira-kira 40 karya sedemikian. 

“Bagi segelintir orang, subjek ini nampak tak menyenangkan hati. Bagi saya pula, bila saya melukis saya rasa kuat dari segi emosi,” katanya kepada Bernama . 

Karya sureal merujuk hasil seni seperti lukisan, sastera dan filem yang menggabungkan elemen realiti dengan mimpi, imaginasi atau alam bawah sedar dengan menampilkan imej atau situasi pelik, tidak logik atau luar biasa seolah-olah datang dari mimpi atau khayalan.

Menyifatkannya sebagai terapi minda, artis yang lebih selesa dikenali sebagai Miman itu mula menghasilkan karya bersifat gelap dan surreal pada 2019.  

Elemen yang  sering digunakan sebagai subjek termasuk mata, iaitu motif yang disifatkanya sebagai lambang kehidupan dan kesedaran.

“Batu atau patung pun kalau kita lukis mata, terus nampak hidup. Mata bagi saya tanda kita masih ada, masih kuat,” katanya 

Karya paling ikonik Miman antaranya The Guardian, diinspirasikan daripada bentuk dan aura burung hantu yang mahu ditafsirkan sebagai lambang penjaga emosi. 

“Lukisan itu saya buat dalam keadaan sangat fokus dan sunyi. Ia seperti satu proses rohani bagi saya. Saya anggap ia seperti penjaga emosi saya sepanjang melukis,” jelasnya yang masih menyimpan karya tersebut sebagai koleksi peribadi.  

Menolak tanggapan bahawa karya seninya itu hasil kemurungan atau tekanan mental, pemegang Diploma Seni Halus berkenaan menegaskan setiap karya beliau dihasilkannya menerusi gabungan pelbagai emosi termasuk gembira, tenang, keliru dan “kosong”.

“Saya melukis bukan sebab sedih semata-mata. Kadang-kadang bila saya gembira pun saya zahirkan dengan lukisan macam tu,” katanya yang menjadikan suasana sunyi di rumah sebagai tempat terbaik untuk berkarya.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, orang ramai juga menzahirkan reaksi berbeza apabila melihat lukisannya dengan ada yang berasa takut, sedih sehingga menangis, malah ada yang terkenang kenangan tertentu.  

“Baru-baru ni ada pembeli kata lukisan saya buat dia teringat mimpi dia. Ada juga yang kata pernah nampak benda yang sama sebelum ini. 

“Saya pun tak pasti kenapa, tapi mungkin sebab karya ni banyak datang dari bawah sedar saya sendiri,” katanya yang tidak hanya terikat dengan karya sebegitu malah turut menerima tempahan lukisan biasa seperti potret perkahwinan atau lain-laian permintaan pelanggan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Projek bebola terumbu, semai harapan baharu ekosistem laut pesisir
Next: Palestin: Simbol ketabahan, simbol perjuangan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.