PENDIDIKAN seni halus yang dahulunya hanya terbatas
dalam bilik darjah kini sudah dilihat di kawasan umum di Mukah. Ia berikutan kewujudan lukisan mural pertama di bandar Mukah pada 2018 oleh sekumpulan pelukis tempatan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Rejang Fine Artist Group (RFAG). Mereka terdiri daripada Leonard Darimi dan Hamdani Sahali dari SMK Oya, Aliza Anthony (SMK Mukah), Muhd Ruhaizat Ruslidari dan Hairy Azmeer (MRSM Mukah) dan Mikerona Isu dari Kampung Tanam Dalat.
Premis bertuah yang mendapat sentuhan RFAG ini ialah Bangunan Pasar Tamu Mukah yang berada di Bandar Lama Mukah. Mural yang memaparkan budaya, ekonomi dan aktiviti sosial di Bahagian Mukah itu telah diserahkan dengan secara rasmi kepada pihak berkuasa tempatan, Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM). Upacara ringkas penyerahan daripada kumpulan pelukis yang juga dianggap sebagai sejarah tersendiri itu telah disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Yussibnosh Balo pada 20 April 2018.
Wakil rakyat kelahiran Kampung Tellian Mukah itu menghargai usaha kumpulan tersebut dengan menganggap ia sebagai salah satu media praktikal untuk mempromosikan budaya dan aktiviti sosial di Mukah. Lima bulan kemudian, sebahagian daripada ahli RFAG meluaskan lagi lukisan di dinding Pasar Tamu itu dengan sebuah lagi mural kedua. Mural berukuran 20 kaki persegi di dinding premis berkenaan memaparkan makanan eksotik seperti Si’et atau ulat mulong, ulat daun lamas, serangga dan udang kara.
Tahun berikutnya, seorang ahli kumpulan seni lukis yang berasal dari Dalat, Mikerona, memilih dinding Tandas Awam di Pekan Dalat sebagai premis untuk paparan mural yang bertajuk ‘Saya Cinta Dalat’.
Berlokasi di Tebingan Sungai Dalat ‘Dalat Waterfront’, mural ini mengetengahkan Pohon Rumbia, Makanan Eksotik ‘Siet (ulat mulong), kliedeng (Kubur Tiang Berdiri orang kenamaan zaman silam diperbuat daripada ayu belian) dan Burung Kenyalang. Kelab pelukis RFAG yang sebahagian besarnya dianggotai oleh pelukis guru dari kawasan zon tengah Sarawak ini telah menyertai pelbagai aktiviti anjuran tempatan semenjak ia ditubuhkan.
Sementara bagi Leonard Darimi, Hairy Azmeer Razali dan Muhd Ruhaizat Ruslidari, mereka bukan hanya mengetengahkan kepakaran untuk menghiasi dinding bangunan awam sahaja, akan tetapi mengembangkan bakat mereka di luar Sarawak. Penghujung tahun lalu trio ini telah menyertai Pameran Alam & Guru 2019: Pameran Seni Halus Guru dan Pensyarah Seni Visual Seluruh Malaysia di Kuala Lumpur.
Juga peserta dari Sarawak yang menyertai mereka pada pameran yang berlangsung dari 24 Oktober hingga 24 November tersebut itu ialah Wong Neng Lee dari SMK Tinggi Sarikei dan Dr. Ling Pik Kuong dari IPGM Kampus Rajang Meradong. Pameran Alam & Guru merupakan satu pameran khas untuk para guru Pendidikan Seni Visual dari sekolah dan pensyarah Seni Visual IPG seluruh Malaysia.
Pameran dwitahunan edisi kali kedua ini merupakan sebuah pameran Seni Halus yang bertemakan ‘Ilham Alam’ anjuran bersama Jabatan Pendidikan Seni Visual, Institut Perguruan Ilmu Khas dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Menurut salah seorang peserta dari Mukah, pameran dwitahunan ini merupakan gelanggang kepada para pelukis amatur terutamanya dalam kalangan guru-guru dalam membuakkan keinginan untuk beraksi menerusi aktiviti berpameran yang lebih berprestij.
“Pameran yang dinanti-nantikan ini sentiasa mendapa sambutan yang baik dalam kalangan peserta kerana ia memberi ruang dan peluang kepada golongan guru untuk aktif berkarya dan memperagakannya untuk tatapan umum,” ujarnya.
Sebanyak 97 karya dari pelbagai genre seni halus iaitu lukisan, catan dan cetakan dengan pelbagai media dan teknik telah dipamerkan. Kesibukan tugas sebagai pendidik tidak menghalang mereka untuk menghasilkan karya-karya seni halus yang bermutu malahan beranggapan bahawa berkarya merupakan salah satu tugas sampingan yang wajib bagi seorang guru seni visual.
Jika kita menyorot kembali sejarah perkembagan seni lukis di Malaysia pada tahun 1930-an ia adalah dipelopori oleh guru-guru seni lukis seperti Abdullah Ariff danTay Hooi Keat. Bagi Leonard Darimi yang juga lulusan Seni Halus dari UiTM Shah Alam sudah tiba masanya menjenamakan semula jenama ‘Pelukis Guru’ agar setanding dengan pelukis-pelukis sepenuh masa yang ada di Malaysia sekali gus meningkatkan lagi prestij profesion guru seni serta profesion pelukis itu sendiri.
“Penjenamaan ini hanya boleh direalisasikan melalui penubuhan sebuah persatuan pelukis guru. Ura-ura tentang penubuhan persatuan ini telah pun dicetuskan oleh para guru yang menyertai pameran ini,” ujarnya lagi.