
MADRID: Luís Montenegro dilantik semula sebagai Perdana Menteri Portugal pada Khamis oleh Presiden Marcelo Rebelo de Sousa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perikatan Demokratik (AD) berhaluan tengah kanan yang diketuai Montenegro memenangi pilihan raya parlimen awal dengan majoriti besar baru-baru ini, namun sekali lagi gagal memperoleh majoriti mutlak, yang bermakna beliau masih perlu mentadbir menerusi kerajaan minoriti.
Montenegro bakal berdepan ujian pertama tidak lama lagi apabila beliau perlu membentangkan program kerajaannya kepada parlimen baharu, yang dijadual bersidang buat kali pertama pada 3 atau 5 Jun.
Jika program kerajaan baharu itu ditolak, negara berkenaan berdepan kebuntuan politik dan kemungkinan satu lagi pilihan raya awal, yang menurut perlembagaan hanya boleh diadakan selepas setahun.
Sejak 2022, Portugal telah mengadakan tiga pilihan raya awal. Pilihan raya terbaru diadakan selepas Montenegro kalah dalam undi percaya pada Mac lepas.
Peguam berusia 52 tahun itu sebelum ini tertekan akibat dakwaan terhadap urus niaga syarikat keluarganya yang tidak telus. Sejak itu, Portugal hanya ditadbir oleh kerajaan sementara dengan kuasa terhad.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan tidak menjejaskan sokongan terhadap gabungannya dalam pilihan raya awal pada 18 Mei. Malah, parti konservatif itu menambah bilangan kerusi mereka di parlimen daripada 80 kepada 91.
Namun, majoriti mutlak sekurang-kurangnya 116 kerusi masih jauh daripada jangkauan.
Buat pertama kali, parti populis sayap kanan Chega menduduki tempat kedua dengan 60 kerusi, mengatasi Parti Sosialis (PS) yang memperoleh 58 kerusi.– Bernama-dpa