KUCHING: Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak terus membimbangkan apabila Lubok Antu merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 456 pada 8.00 pagi ini, sekali gus berada pada tahap sangat berbahaya.
IPD Serian pula mencatat bacaan 343 pada tahap berbahaya, manakala Sri Aman menghampiri paras berbahaya dengan bacaan 298.
Sementara itu, Kuching merekodkan IPU 276, Samarahan (257), Lundu (253), Kanowit (241), Tebedu (239), Sarikei (227) dan Betong (215), kesemuanya berada pada tahap sangat tidak sihat.
Beberapa kawasan lain kekal pada tahap tidak sihat dengan Sibu mencatat bacaan 191, Kapit dan Bintulu masing-masing 176, Mukah (172), Samalaju (167), Lawas (166), Bario (157), Limbang (155), ILP Miri (153) serta Miri (134).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat.
Bacaan antara 301 hingga 400 pula dikategorikan sebagai berbahaya, manakala 401 hingga 500 berada pada tahap sangat berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kepada golongan berisiko tinggi serta kesihatan awam.
IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar udara paling dominan, manakala MCAQM merujuk kepada Pemantauan Kualiti Udara Berterusan Mudah Alih.
Orang ramai khususnya di kawasan yang mencatat bacaan tinggi dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan semasa kualiti udara serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.
Oleh Norman B




