TAHNIAH kepada penulis kerana mampu menyiap- kan sebuah cerpen yang membawa mesej persahabatan. Persahabatan membawa kegembiraan dan kebahagiaan. Setiap insan memerlukan kawan untuk hidup demi kebahagiaan serta ceria. Kehilangan sahabat akan mendatangkan kesan mendalam.Oleh demikian, penulis menulis cerpen ini supaya hubungan sahabat dijaga dengan baik bagi setiap tali persahabatan.
Sinopsis
Shareeq yang sakit tenat di hospital mengimbau kenangan lalu di sekolah. Ketika tinggal di asrama, lama dia tidak mempunyai kawan sehinggalah dia berjumpa dengan Fathi, seorang yang baik dan sanggup bersahabat dengannya. Hubungan mereka menjadi erat dan Shareeq tidak sepi lagi.
Namun hubungan mereka mendatangkan fitnah kerana dituduh melakukan hubungan sejenis. Akibat fitnah itu Fathi telah memarahinya dan hubungan yang menjadi renggang menyebabkan dia sedih. Shareeq gembira apabila Fathi datang melawatnya dan memohon maaf sebelum dia meninggal dunia.
Kekuatan cerpen ini ialah nilai persahabatan. Pertama-tamanya penulis menceritakan secara kreatif tentang keperluan manusia berkawan. Lebih-lebih lagi situasi yang ditanggung oleh watak dalam keadaan sakit kronik.
Jika ada sahabat; boleh menjadi penghibur dan melupakan ke- sakitan yang dialami seperti kata penulis;
Di dalam bilik ini, terdapat ba- nyak katil dan sudah tentu banyak penghuninya. Aku tidak sabar ingin bertemu dengan mereka. Aku ingin mempunyai ramai teman. Keterujaan yang membakar semangatku untuk terus berjuang dalam hidup. Aku berharap aku akan bertemu dengan penawar derita detakan jantungku yang bersisa ini.
Selagi tidak memiliki kawan selagi itu terasa sepi. Hal ini lebih-lebih lagi dirasakan oleh orang yang sukar menyesuaikan diri dengan orang lain.
Oleh itu, dia terlalu berharap ada pelawaan dan sapaan dari- pada orang lain untuk memulakan persahabatan. Keadaan ini diceritakan oleh penulis melalui watak Shareeq;
Tarikh bersilih ganti. Hatiku berulit lara. Harapanku kian punah. Sudah seminggu aku menjadi penghuni sekolah yang beraliran sains ini, tetapi sampai ke saat ini aku belum menjalani sebarang hubungan persahabatan dengan sesiapapun. Aku berasa sepi tidak berbalas. Kekosongan kian menguasai diriku yang polos. Kadang-kadang kesepian yang penuh kesempitan ini seakan-akan membunuh jiwaku. Apa kurangnya aku? Mengapa tiada yang ingin berkawan denganku?
Penulis memperkenalkan watak Shareeq kepada pembaca sebagai seorang yang tidak mudah bergaul dan memerlukan bantuan daripada orang sekeli- ling untuk mendahului. Jiwanya tersiksa kerana sepi setelah lama tidak mempunyai sahabat akrab di tempat baharu. Keinginan individu untuk berkawan dijelaskan oleh penulis melalui monolog watak yang menganggap keadaan itu seperti membunuh jiwanya.
Untuk mendamaikan jiwa atau mengekang situasi tekanan emosi itu, penulis menggunakan watak utama untuk menganjurkan sesuatu yang boleh dilakukan jika berhadapan masalah ini. Shareeq mendamaikan keresahannya akibat belum menemui kawan sejati dengan mendekatkan hubungan dengan Pencipta. Watak gubahan penulis digunakan sewajarnya untuk mendukung mesej cerita; bahawa hubungan degan Tuhan iu lebih utama dan mampu mengubat kesepian hidup.
Kendatipun aku tidak ditakdirkan untuk berdamping dengan seorang insan yang bergelar sahabat, tetapi itu bukan sebuah benteng untuk aku tidak beribadah kepada Sang Pencipta. Siang dan malam, aku penuhi waktu dengan mendekatkan sebuah hubungan yang tiada titik noktahnya, iaitu hubungan dengan Ilahi. Surah-surah lazim tidak pernah henti aku baca dan menjadi pegangan hidupku. Zikir-zikir memuji kebesaran Allah sering aku laungkan kerana aku percaya bahawa Allah Maha Mendengar.
Kegembiraan Shareeq digambarkan oleh penulis melalui monolog dalaman akan kegembiraan apabila disapa oleh Fathi. Setelah lama menanti saat perkenalan dan sapaan daripada seorang sahabat, dia amat teruja. Persahabatan itu amat diperlukan oleh seseorang, lebih-lebih lagi dengan orang baik-baik seperti sikap watak Fathi yang digambarkan oleh penulis.
Oleh yang demikian, Shareeq amat menghargai seperti tidak percaya itu yang berlaku seperti kata penulis;
“Assalamualaikum. Saya Fathi. Awak budak baru ke? Selamat berkenalan.” Sapa jejaka itu sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku?
Aku terkedu serentak bahagia. Setelah seminggu aku berada di sekolah ini, akhirnya ada juga insan yang berhati mulia menyapaku. Dia seorang pria yang acap kali aku lihat beribadah di surau pada waktu senggang. Alunan ayat al-Quran yang di- alunkan olehnya sungguh merdu didengar. Sesiapa sahaja yang mendengarnya sudah tentu akan merasakan erti ketenangan yang asli. Tanpa membuang masa, aku pun menyambut tangan yang dihulurkan itu. Aku umpama sedang terlena dibuai mimpi. Adakah ini realiti dan bukannya fantasi?
Penulis menggambarkan watak Fathi sebagai seorang yang taat agama dan pandai mengaji de-ngan bacaan yang merdu. Gambaran ini berkaitan fokus cerita tentang keinginan sekian lama Shareeq memiliki sahabat dan dikaitkan dengan kehadiran Fathi berwatak baik mempelawanya menjadi sahabat.
Situasi ini amat menggembira- kan Shareeq kerana bertemu orang baik-baik itu pun satu rezeki apatah lagi dijadikan sahabat sehingga menyebabkan dia seperti tidak percaya dengan semua yang berlaku dan me- nganggapnya umpama mimpi.
Sedangkan pandangan Shareeq terhadap orang di sekelilingnya sebelum itu terlalu negatif, seolah-olah dia tidak punya apa-apa untuk disapa oleh sesiapapun seperti katanya;
Apa kurangnya aku? Mengapa tiada yang ingin berkawan denganku?
Menurut urutan peristiwa selanjutnya, Shareeq digambar- kan gembira menikmati nilai persahabatan daripada sahabat yang baik dan sanggup duka dan gembira bersama-sama.
Kisah ini dilihat sebagai satu impian penulis tentang per- sahabatan yang indah dan cukup bermakna untuk disemat dalam diri pembaca seperti berikut;
Sejak pertemuan yang tidak diduga ini, hubungan kami semakin erat umpama isi dengan kuku dan amat sukar dipisahkan.
tidak lagi terhimpit dalam kesepian setelah datang se-orang sateria yang setia mengisi kehidupanku. Aku sedih. Dia merintih. Aku tertawa.
Dia bahagia. Itulah nikmat persahabatan yang kami lalui. Jika diberi kuasa, aku ingin menghentikan masa. Aku ingin melakar takdir yang berbaki ini agar tertulisnya sebuah makalah sahabat.
Selanjutnya penulis bercerita tentang kesan daripada mempunyai sahabat yang baik sehingga melupakan derita yang disembunyikan.
Dalam mesra akrab sebati de-ngan budi baik seorang sahabat, Shareeq dapat melupakan ke- sakitan seperti dia tidak mempunyai apa-apa masalah, malah mampu menyembunyikan ke- sakitan itu daripada sahabatnya;
Setiap hari, hari-hariku diisi dengan belajar, beribadah dan bergurau senda bersama-sama temanku ini. Kegembiraan kami kian menular dan hanyut dibawa silir. Aku hampir terlupa titik hitam yang tercalit dalam kebahagiaan ini. Tanpaku jangka, rahsiaku hampir terungkai daripada simpulan yang aku sembunyikan selama ini.
Akibat menyembunyikan ke- sakitan itu sebagai satu rahsia, dia telah berbohong kepada sahabatnya;
“Uhuks…uhuks…uhuks….” Aku terbatuk di hadapan Fathi dan darah merah pekat melekat pada tanganku. Aku berasa cemas dan gusar.
Fathi menyedari perbuatanku dan terkejut melihat darah yang meliputi tanganku.
“Shareeq, kenapa ada darah pada tangan awak?” soalnya sambil memegang tanganku.
“Tak ada apa-apa pun. Ini cuma cat merah. Saya terpegang pagar merah tu tadi,” jawabku sambil menunjukkan pagar merah yang berada di tepi kantin sekolah.
Penulis juga mengukuhkan nilai persahabatan dalam ceritanya dengan reaksi balas daripada seorang sahabat. Reaksi Fathi menunjukkan dia amat ambil berat terhadap diri Shareeq sehingga dia merasakan manis dalam persahabatan apabila se- orang sahabat cakna terhadap diri. Lantas kerana itu dia sungguh menghargai dan tersentuh emosi lalu memeluk Fathi seperti cerita penulis;
Bicaraku seperti terkunci. Tiada sebarang kata yang mampu membalas kata-katanya sebentar tadi. Aku memeluk tubuhnya dan berasa bersyukur kerana dikurniakan seorang sahabat yang prihatin terhadap diriku. Namun, ini bukanlah masanya untuk aku menyatakan rahsia di sebalik persahabatan ini. Aku takut dia pergi meninggalkan aku. Pelukan ini telah menyatukan dua degu- pan menjadi satu. Jantungku berdetak. Jantungnya berdegup. Sekarang, detakan ini berlagu dalam satu irama yang sama: lubb-dubb, lubb-dubb, lubb-dubb.
Melihat reaksi Fathi tersebut menyebabkan Shareeq rasa bersalah terhadap perbuatannya menyembunyikan sesuatu daripada sahabatnya sedangkan Fathi ambil berat akan dirinya. Oleh yang demikian Shareeq menganggap dirinya menipu dan rasa bersalah menyembunyikan sesuatu daripada sahabat yang berwatak baik itu seperti katanya;
‘Maafkan saya Fathi, saya terpaksa menipu,’ bisik hatiku.
Ya Allah, bantulah hambamu yang kerdil ini. Hambamu ini tidak mahu mengecewakan sahabat- nya. Dia tidak berdosa.
Penulis selanjutnya menggerakkan cerita dengan konflik. Konflik dibina antara dua watak utama ini dengan keadaan sebab musabab yang dipilih.
Walaupun watak Fathi dilukis amat baik sebelum itu namun sebagai manusia biasa dia telah teruji oleh asakan tekanan emosi sehingga mampu mengubah perwatakannya seperti berikut;
Aku tidak menyangka peristiwa seperti ini akan menggugat hubungan persahabatanku dengan Fathi. Fitnah itu sudah sampai ke telinganya. Dia berasa marah dan kecewa setelah berkawan rapat denganku. Lantas, dia berlari mencariku sehingga kami bertemu di kawasan taman sekolah. Tiba-tiba, dia menolakku dengan wajah yang penuh dengan penyesalan. Aku rebah tidak terdaya.
“Cis, dasar pondan syaitan kau. Kau ingat aku tak tahu semua perangai dan dosa busuk kau tu? Aku tahu kau pindah ke sekolah ni sebab dulu kau kena buang sekolah sebab kau terlibat de-ngan kes disiplinkan? Jawablah, kenapa diam?” soalnya sambil menyepak kakiku.
Dia seperti dirasuk sebuah lembaga yang jahat. Dia bukan Fathi yang aku kenal. Dia bukan kawan baik aku. Belum sempat aku bersuara dia terus memotong bicaraku tanpa mendengar sebutir pun penjelasanku.
Berdasarkan petikan di atas penulis berjaya melukis konflik antara dua watak dengan perubahan ketara watak Fathi. Perubahan itu menggambarkan api kemarahan Fathi sehingga dikatakan ‘seperti dirasuk sebuah lembaga jahat’. Situasi itu mengukuhkan cerita bahawa Fathi terkesan oleh konflik yang berlaku dan akhirnya merosakkan hubungan erat yang terjalin. Punca kemarahan Fathi itu dijelaskan oleh penulis melalui luahan kecewa dan tindakan Fathi memutuskan hubungan seperti berikut;
“Aku tidak menyangka wajah kudusmu itu tersembunyi kudis yang busuk seperti dosamu. Mengapa kau tidak menceritakan kepadaku bahawa kau pernah terlibat dalam kes LGBT? Sekarang aku dah sayang kau macam adik aku sendiri, tapi kau menipu aku. Mulai detik ini, kau bukan lagi kawan aku. Kau seorang mak nyah dan aku benci mak nyah. Aku benci kau, najis. Jijik,” herdiknya lalu meninggalkanku bersendirian yang pilu dipukul bicara.
Selain membawa mesej tentang nilai persahabatan, cerpen ini juga membawa isu LGBT dan kritikan terhadap sikap masyarakat.
Penulis bijak memasukkan isu ini untuk diselitkan pada bahagian yang sesuai dalam cerita agar tidak nampak menempel. Bahagian yang sesuai itu ialah isu ini dapat mengukuhkan bahagian konflik. Konflik berlaku apabila fitnah yang muncul dikaitkan dengan LGBT. Fathi digambarkan terlalu marah dan kecewa juga dikaitkan dengan isu tersebut. Fathi, watak digambar- kan sebagai orang baik dan taat agama, apabila mengetahui diri- nya berkawan dengan watak yang dikaitkan dengan LGBT, maka dia tertekan kerana terpalit dengan watak LGBT.
Oleh yang demikian, isu LGBT itu boleh membantu pembangunan konflik dalam cerita.
Dalam isu LGBT, timbul satu kritikan penulis terhadap sikap masyarakat yang suka menabur fitnah dan buruk sangka. Kesan daripada fitnah tersebut adalah hubungan persahabatan ter- putus.
Penulis seolah-olah mengkritik sikap masyarakat yang terlalu mudah untuk terus mengaitkan dua orang lelaki yang berhubungan rapat dengan LGBT tanpa melihat kehidupan normal pasangan rakan lelaki tersebut yang sama sekali tidak sewajar- nya dikaitkan terus dengan hubungan sejenis.
Penambahbaikan
Dari segi susunan plot; penulis faham tentang kaitan sebab dan akibat. Namun demikian dalam cerita ini, sebab dan akibat itu perlu diperkukuhkan lagi dengan satu peristiwa atau kejadian yang menimbulkan sesuatu sebab.
Dalam hal ini, isu fitnah dan hubungan sejenis perlu di- perkukuhkan lagi dengan sesuatu yang boleh diterima pembaca.
Penulis perlu menjalin sebab dan akibat yang lebih kukuh untuk mengaitkan hubungan baik antara Shareeq dan Fathi dengan LGBT. Bagaimanakah fitnah itu boleh timbul?
Dalam perkembangan plot, fitnah bukan sekadar hadir untuk membentuk konflik tetapi ke- hadiran fitnah itu perlu diceritakan akan puncanya.
Hal ini boleh dicerekakan dengan peristiwa dan perwatakan watak yang menimbulkan fitnah dan salah faham masyarakat.
Dari segi bahasa, penulis berjaya menyampaikan ceritanya dengan bahasa yang mudah difahami. Namun demikian, penulis boleh menyunting kembali beberapa diksi yang digunakan dalam cerpen agar nampak kemas dan sesuai dengan maksud yang ingin disampaikan.
Misalnya penggunaan ‘sateria’ dalam konteks perenggan cerpen itu boleh diganti dengan diksi yang lebih sesuai. Juga kata bilangan dalam ayat ‘Dia seperti dirasuk sebuah lembaga yang jahat’ boleh digugurkan. Begitu juga dengan huraian yang meleret-leret yang bukan fokus utama cerita boleh disunting semula.
Kesimpulannya, cerpen ini baik dalam membincangkan nilai dan isu yang dibawa untuk menawan perhatian pembaca berfikir tentang mesej yang diketengahkan.
Maksud yang ingin disampaikan oleh penulis telah dibantu oleh lukisan watak hidup yang menggambarkan situasi, emosi dan konflik cerita. Bahasa yang digunakan menarik namun boleh diperkemaskan lagi dengan diksi yang mantap dan padat, sesuai mendukung definisi cerpen.
Cerpen ini akan lebih menarik jika dilakukan keja suntingan yang lebih teliti dan berfokuskan jalur utama cerita.
Cerpen merupakan karya sastera yang halus dan sewajarnya menggunakan perkataan yang terpilih dan gaya yang berseni. Tahniah dan teruslah menulis kerana anda memang berbakat!
Oleh MOHD ALI SALIM (MUNSYI SASTERA)