LUBB-DUBB. Irama yang sepi dalam kelopak jantungku.
Lubb-dubb. Rentak yang membuatku untuk menghitung sia-sia waktu.
Lubb-dubb. Detakan yang memanggilku untuk pulang ke pangkuan Ilahi.
Aku tahu saat itu akan tiba. Panggilan terakhir itu akan menyahutku. Malaikat maut akan menemaniku. Tetapi, adakah ini detiknya? Betulkah ini detakan terakhirku?
10 Mac 2019 merupakan tarikh keramat yang membawa diriku untuk melabuhkan tubuh kaku di atas tilam bercadar biru ini. Terkujur tubuh, terebah jasad. Ibu, seorang bidadari yang setia menanti dan merintih di tepiku. Tangisannya membuatku pilu. Rintihannya memukul diriku. Deritanya menepis kesakitanku. Aku lumpuh tidak terdaya kendatipun beberapa kali aku bangkit dari kesenduan ini. Tangan ini terasa ingin menjadi kain perca agar dapat mengesat mutiara mata yang kian membanjiri wajah kudus ibuku. Namun, alangkah dukanya atma ini. Tubuhku seperti boneka yang dipasung. Tanganku umpama terikat tidak bertali. Kakiku terkunci seakan-akan kudung yang tidak berpaut.
Ya Allah Yang Maha Mendengar, dengarkanlah doaku ini. Doa daripada insan-Mu yang kerdil lagi hina ini. Hamba-Mu memohon agar Engkau hentikan derita ini. Suatu penderitaan yang tidak mampu untuk aku pikul lagi.
Ibu, dengarlah rayuan ini. Usahlah kau merintih lagi. Cukuplah kau menanti anakmu ini. Aku sudah berusaha mempertahankan hidup ini, maka relakanlah pemergian anakmu ini. Maafkan aku ibu, aku hendak pergi.
Malam yang kelam ditelan gelita. Jarum jam dinding sudah melentok pada waktu sebelas malam. Penantianku tinggal satu jam lagi. Sebentar lagi. Aku seakan-akan tidak percaya dengan keajaiban dunia. Keajaiban yang memberi aku peringatan untuk sentiasa bersyukur dan bersujud kepada Tuhan yang satu, iaitu Allah SWT.
Adik bongsuku, Shareen, tidak pernah putus menitipkan kalimah suci di sebelah cupingku. Alunan zikir yang bersenandung di dalam telingaku terasa lunak dan manis umpama halwa tidak bergula. Nyaman hati ini waima jantung terasa pedih bagai dihiris sembilu. Zikir yang acap kali dilafazkan oleh seluruh umat Islam itu merasuk mindaku agar mampu mengimbau memori dahulu. Memori yang aku gelar, memori terindah.
Ahmad Shareeq bin Ahmad Shaheeran. Nama yang aku tulis dalam borang pendaftaran ini. Aku terasa gusar berulam riang. Kegusaran yang singgah pada suatu hari. Hari yang membuka sebuah lembaran hidup bahagia. Hari yang akan mengubah takdir hidupku. Hari yang menemukan aku dengan seorang malaikat duniawi. Hari untuk aku memulakan sesi persekolahan di sekolah baru dalam suasana yang penuh debaran.
Langkah yang tidak bertingkah. Aku menyusun langkah untuk keluar dari pejabat am setelah selesai sesi pendaftaran. Aku mula mencari kamarku yang tertera pada helaian kertas yang aku pegang ini. Dengan bantuan Cikgu Azwan yang merupakan warden asrama, aku sudah tiba di hadapan kamar yang akan aku tinggal semasa bersekolah di sini. Di dalam bilik ini, terdapat banyak katil dan sudah tentu banyak penghuninya. Aku tidak sabar ingin bertemu dengan mereka. Aku ingin mempunyai ramai teman. Keterujaan yang membakar semangatku untuk terus berjuang dalam hidup. Aku berharap aku akan bertemu dengan penawar derita detakan jantungku yang bersisa ini.
Tarikh bersilih ganti. Hatiku berulit lara. Harapanku kian punah. Sudah seminggu aku menjadi penghuni sekolah yang beraliran sains ini, tetapi sampai ke saat ini aku belum menjalani sebarang hubungan persahabatan dengan sesiapapun. Aku berasa sepi tidak berbalas. Kekosongan kian menguasai diriku yang polos. Kadang-kadang kesepian yang penuh kesempitan ini seakan-akan membunuh jiwaku. Apa kurangnya aku? Mengapa tiada yang ingin berkawan denganku?
Kendatipun aku tidak ditakdirkan untuk berdamping dengan seorang insan yang bergelar sahabat, tetapi itu bukan sebuah benteng untuk aku tidak beribadah kepada Sang Pencipta. Siang dan malam, aku penuhi waktu dengan mendekatkan sebuah hubungan yang tiada titik noktahnya, iaitu hubungan dengan Ilahi. Surah-surah lazim tidak pernah henti aku baca dan menjadi pegangan hidupku. Zikir-zikir memuji kebesaran Allah sering aku laungkan kerana aku percaya bahawa Allah Maha Mendengar.
“Assalamualaikum. Saya Fathi. Awak budak baru ke? Selamat berkenalan.” Sapa jejaka itu sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku?
Aku terkedu serentak bahagia. Setelah seminggu aku berada di sekolah ini, akhirnya ada juga insan yang berhati mulia menyapaku. Dia seorang pria yang acap kali aku lihat beribadah di surau pada waktu senggang. Alunan ayat al-Quran yang dialunkan olehnya sungguh merdu didengar. Sesiapa sahaja yang mendengarnya sudah tentu akan merasakan erti ketenangan yang asli. Tanpa membuang masa, aku pun menyambut tangan yang dihulurkan itu. Aku umpama sedang terlena dibuai mimpi. Adakah ini realiti dan bukannya fantasi?
“Awak tak apa-apa?” soal Fathi sambil melihat diriku yang agak pelik ini.
“Walaikumusalam. Ya. Saya budak baru. Nama saya Shareeq,” jawabku sambil tanganku bergetar.
Sejak pertemuan yang tidak diduga ini, hubungan kami semakin erat umpama isi dengan kuku dan amat sukar dipisahkan. Aku tidak lagi terhimpit dalam kesepian setelah datang seorang sateria yang setia mengisi kehidupanku. Aku sedih. Dia merintih. Aku tertawa. Dia bahagia. Itulah nikmat persahabatan yang kami lalui. Jika diberi kuasa, aku ingin menghentikan masa. Aku ingin melakar takdir yang berbaki ini agar tertulisnya sebuah makalah sahabat.
Setiap hari, hari-hariku diisi dengan belajar, beribadah dan bergurau senda bersama-sama temanku ini. Kegembiraan kami kian menular dan hanyut dibawa silir. Aku hampir terlupa titik hitam yang tercalit dalam kebahagiaan ini. Tanpaku jangka, rahsiaku hampir terungkai daripada simpulan yang aku sembunyikan selama ini.
“Uhuks…uhuks…uhuks….” Aku terbatuk di hadapan Fathi dan darah merah pekat melekat pada tanganku. Aku berasa cemas dan gusar.
Fathi menyedari perbuatanku dan terkejut melihat darah yang meliputi tanganku.
“Shareeq, kenapa ada darah pada tangan awak?” soalnya sambil memegang tanganku.
“Tak ada apa-apa pun. Ini cuma cat merah. Saya terpegang pagar merah tu tadi,” jawabku sambil menunjukkan pagar merah yang berada di tepi kantin sekolah.
“Oh… saya fikir awak cedera tadi. Saya risau kalau awak sakit,” balasnya lantas memeluk tubuhku dengan erat.
Bicaraku seperti terkunci. Tiada sebarang kata yang mampu membalas kata-katanya sebentar tadi. Aku memeluk tubuhnya dan berasa bersyukur kerana dikurniakan seorang sahabat yang prihatin terhadap diriku. Namun, ini bukanlah masanya untuk aku menyatakan rahsia di sebalik persahabatan ini. Aku takut dia pergi meninggalkan aku. Pelukan ini telah menyatukan dua degupan menjadi satu. Jantungku berdetak. Jantungnya berdegup. Sekarang, detakan ini berlagu dalam satu irama yang sama: lubb-dubb, lubb-dubb, lubb-dubb.
“Shareeq, 11 Mac nanti mak saya akan mengadakan majlis hari jadi saya. Awak mesti datang ok? Kitakan sahabat.” Katanya sambil menepuk bahuku yang macam ranting kayu ini.
Aku hanya mengangguk sebagai tanda bersetuju dengan pelawaannya sebentar tadi walaupun jauh di sudut hatiku agak pedih untuk menyatakannya. Gusar bersemat harapan. Harapan untuk sentiasa berada di sisinya. Aku merenung wajahnya tatkala dia tengah teruja bercerita kepadaku tentang majlis hari jadinya yang bakal menjelma.
‘Maafkan saya Fathi, saya terpaksa menipu,’ bisik hatiku.
Ya Allah, bantulah hambamu yang kerdil ini. Hambamu ini tidak mahu mengecewakan sahabatnya. Dia tidak berdosa.
Dalam bahagia yang berputik, sudah tentu terdapat sekelumit perasaan iri hati dalam diri komuniti. Tidak dapat aku menafikan hakikat tersebut. Aku tidak menyangka bahawa persahabatan kami yang akrab ini mendatangkan fitnah yang tiada kebenarannya. Majoriti pelajar di sekolahku beranggapan bahawa aku ini mempunyai hubungan percintaan bersama Fathi. Sudah pasti yang bermain dalam fikiran mereka bahawa aku ini seorang homoseksual. Namun, aku bersumpah. Aku tidak mempunyai perasaan cinta terhadap Fathi. Aku bukan salah satu kaum Sodom Nabi Luth A.S. yang dilaknat. Aku masih tahu membezakan dosa dan pahala. Aku hanya menganggap dia sebagai sahabat dan saudaraku di dunia sehingga ke jannah. Hubungan kami juga tidak lebih daripada itu. Semua ini hanya fitnah. Aku tidak berdusta. Aku tidak mahu menjadi umat yang dilaknat oleh Rasulullah SAW di akhirat kelak. Aku masih waras. Ya Allah, mengapakah berat sekali dugaan yang kau berikan kepadaku ini? Tidak cukup menderitakah aku selama ini?
Fitnah ini menghantui hidupku. Beberapa orang pelajar memandang serong terhadapku. Terdapat juga pelajar yang sanggup membuliku dan memanggilku dengan gelaran ‘mak nyah’ atau ‘pondan’. Kehidupan aku seakan-akan ditimpa dengan pelbagai bala dan musibah sehingga sampai satu tahap, aku ingin mengakhiri hidupku begitu sahaja. Namun, kalimah syahadah dan kalimah suci Allah SWT sentiasa terpahat mapan dalam sanubariku. Aku terbaca sebaris kata yang selama ini menjadi wira dalam hidupku untuk menghadapi musibah. ‘Allah tidak akan pernah menguji hambanya yang tidak termampu olehnya’. Berdasarkan kata-kata ini, aku mula memahami setiap erti kehidupan dan cabaran yang selama ini menutup mataku untuk selalu bersyukur kepada Ilahi. Justeru itu, aku mengetahui bahawa aku sebenarnya seorang insan yang kuat dan tabah mengharungi dugaan. Biarlah dugaan yang mendatang sekuat hempasan ombak yang menutupi ketenangan samudera, aku tetap cekal mengharunginya kerana aku yakin dengan kekuasaan Allah, Tuhan Semesta Alam.
Bagai ditampar dengan kata. Sebuah kenyataan dan fitnah kian menular dalam kalangan pelajar di sekolahku. Fitnah dan berita tersebut menjadi perbualan hangat dari kantin sekolah sehingga ke bilik guru. Aku tidak menyangka peristiwa seperti ini akan menggugat hubungan persahabatanku dengan Fathi. Fitnah itu sudah sampai ke telinganya. Dia berasa marah dan kecewa setelah berkawan rapat denganku. Lantas, dia berlari mencariku sehingga kami bertemu di kawasan taman sekolah. Tiba-tiba, dia menolakku dengan wajah yang penuh dengan penyesalan. Aku rebah tidak terdaya.
“Cis, dasar pondan syaitan kau. Kau ingat aku tak tahu semua perangai dan dosa busuk kau tu? Aku tahu kau pindah ke sekolah ni sebab dulu kau kena buang sekolah sebab kau terlibat dengan kes disiplinkan? Jawablah, kenapa diam?” soalnya sambil menyepak kakiku.
Dia seperti dirasuk sebuah lembaga yang jahat. Dia bukan Fathi yang aku kenal. Dia bukan kawan baik aku. Belum sempat aku bersuara dia terus memotong bicaraku tanpa mendengar sebutir pun penjelasanku.
“Aku tidak menyangka wajah kudusmu itu tersembunyi kudis yang busuk seperti dosamu. Mengapa kau tidak menceritakan kepadaku bahawa kau pernah terlibat dalam kes LGBT? Sekarang aku dah sayang kau macam adik aku sendiri, tapi kau menipu aku. Mulai detik ini, kau bukan lagi kawan aku. Kau seorang mak nyah dan aku benci mak nyah. Aku benci kau, najis. Jijik,” herdiknya lalu meninggalkanku bersendirian yang pilu dipukul bicara.
Aku melihatnya yang sedang kecewa denganku. Aku menjerit dan memanggil namanya untuk memberikan penjelasan, tetapi itu semuanya hanyalah sia-sia. Dia tidak mempedulikanku lagi. Aku berasa sedih. Dialah satu-satunya sahabat yang aku ada. Dalam sekelip mata sahaja, suasana menjadi gelita dan darah mula mengalir deras dari hidungku. Tubuhku terasa lemah dan lumpuh. Kerlipan mataku kian menutup. Aku rebah tidak tersambut. Fathi, jangan pergi. Jangan tinggalkan aku. Aku sakit. Aku hendak mati.
Tiga hari sudah berlalu dan aku sedang dirawat di hospital akibat keadaan kesihatanku yang kian memburuk. Entah apa yang sedang berlegar dalam benak fikiran Fathi. Adakah dia masih berfikir bahawa aku ini seorang pendosa seperti fitnah yang tersebar secara meleluasa itu? Tiada banyak perkara yang mampu aku lakukan sekarang. Aku hanya mampu terbaring lemah di dalam wad ini sambil dipasangkan dengan mesin-mesin yang membantuku untuk terus bernafas hingga ke saat ini.
Pada hari itu juga, Cikgu Lampa, guru biologi di sekolahku datang menjengukku di hospital. Beliau datang dengan wajah yang berduka kerana melihat tubuhku yang sudah tidak bermaya ini. Namun, aku masih mampu menyambut kehadirannya dengan sebaris senyuman manis kepadanya meskipun kudrat ini sudah tidak terdaya.
“Cikgu datang melawat kamu ni sebab kawan-kawan dan cikgu merindukan kamu. Mereka termasuk Fathi asyik tertanya-tanya bilakah kamu dapat pulang ke sekolah. Fathi sudah tidak sabar menunggu hujung minggu supaya dapat melawat kamu di sini.” Ujar beliau lalu menghulurkan beberapa pucuk surat yang ditulis oleh rakan-rakanku untukku.
Setitis tangisan menitis dari kelopak mataku setelah mendengar nama Fathi. Aku tidak menyangka bahawa dia masih mahu untuk bertemu denganku.
“Cikgu sudah menceritakan segalanya kepada kawan-kawan kamu berkenaan masalah kesihatan kamu yang menghidap penyakit jantung berlubang dan sedang dirawat di hospital. Cikgu juga sudah membersihkan nama baik kamu yang sudah tercemar akibat fitnah yang tersebar itu. Cikgu percaya yang kamu tidak akan melakukan perkara tersebut. Cikgu berharap agar kamu cepat sembuh dan dapat pulang ke sekolah dengan segera seperti kebiasaannya.” Penjelasan Cikgu Lampa dengan nada yang bersimpati dengan nasibku.
Mentari berganti purnama dan begitu juga kepiluanku yang berganti kebahagiaan. Aku dapat merasakan seseorang yang aku nanti selama beberapa hari ini akan menjengukku di sini. Bergolak di jiwa, menunggu ketibaannya.
“Ibu, Fathi di luar. Dia hendak bertemu denganku. Dia kawanku, ibu. Tolong biarkan dia masuk,” rayuku kepada ibu dalam keadaan lemah dan kaku. Aku seakan-akan dapat merasakan kehadiran dirinya di sebalik dinding wadku. Ibu pun pergi menuju ke pintu lalu membuka pintu untuk membenarkan Fathi masuk menjengukku.
Alangkah bahagianya aku setelah melihat Fathi di hadapan pintu. Dia sedang berdiri memandang wajahku. Titisan tangisannya mengalir di pipi, tetapi masih mampu tersenyum. Aku memanggilnya walaupun agak sukar untuk dilafazkan.
“Hai awak. Pertama sekali saya nak minta maaf dengan awak sebab saya banyak tipu awak. Saya tahu saya yang bersalah sebab tak beritahu awak tentang penderitaan saya. Saya tak nak awak terpaksa bersimpati dengan penyakit saya ini. Meskipun saya tahu awak seorang sahabat yang baik, tetapi biarlah saya seorang saja yang merana. Selepas ini, saya tak dapat dengar awak mengaji lagi di surau. Saya cuma dapat dengar dan tengok awak dari atas sana sahaja. Tempat di mana kita semua diperhitungkan. Saya berharap detakan jantung kita sentiasa berdegup pada detakan yang sama. Meskipun detakan jantung saya akan berhenti untuk berlagu. Akhir sekali, maafkan saya kerana tidak dapat hadir dalam majlis hari jadi awak. Selamat hari jadi Fathi! Saya sudah penat menanggung penderitaan ini. Izinkan saya pergi dulu. Saya akan sentiasa menanti awak di sana. Selamat tinggal sahabat,” bicara tulus dari teluk atmaku.
“Maafkan saya Shareeq,” ujarnya.
Dia tidak mampu menahan rasa pilu yang kian bergelora dalam kalbunya, lantas memeluk tubuhku yang sudah hampir dijemput oleh Sang Pencipta untuk pulang.
Bunyi jam berdetik yang menunjukkan hari sudah berganti dan tarikh 11 Mac turut menjelma. Dalam dakapan Fathi, aku sempat berbisik ke telinganya lalu mengucapkan “Selamat Hari Jadi Fathi,” bisikku.
Aku pergi untuk selamanya dengan bersisakan detakan jantungku yang terakhir: lubb-dubb, lubb-dubb, lubb-dubb.
Oleh Awang Alfizan