
BINTULU: Beberapa lubang jalan dikenal pasti berlaku di beberapa seksyen pembinaan berhampiran Jejambat Medan Jaya, khususnya di laluan dari Taman Tinggi ke lampu isyarat Medan, susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, lubang-lubang berkenaan didapati dalam keadaan dalam dan melebar, serta menjadi lebih berbahaya ketika hujan apabila air bertakung di permukaan jalan.
Menurutnya, keadaan itu amat berisiko kepada kenderaan kecil dan penunggang motosikal, selain berpotensi menyebabkan kemalangan serta gangguan aliran trafik terutama pada waktu puncak.
“Saya menerima beberapa aduan daripada orang awam yang menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan serta kemungkinan berlakunya kemalangan dan kesesakan lalu lintas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, kontraktor berkaitan telah diarahkan untuk memulakan kerja pembaikan dengan segera dan memastikan kerja-kerja berkenaan disiapkan selewat-lewatnya petang hari ini bagi memulihkan keselamatan jalan raya.
Johnny Pang menegaskan bahawa aspek keselamatan awam tidak boleh dikompromi dan sebarang isu berkaitan jalan raya perlu ditangani tanpa sebarang kelewatan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan aduan sekiranya menemui sebarang masalah keselamatan jalan raya, sambil memberi jaminan pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan.
Oleh Carolyne Utih