Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Luar Dalam Gambaran Emosi
  • TEMPATAN
  • WBS

Luar Dalam Gambaran Emosi

Utusan Sarawak 1 day ago

WALAU dari mana pun sumber yang menjadi garis penyambung kepada pembinaan naskhah ‘Siapa’karya Stephanie Juanita Ahlee, tidak dapat tidak, insiden yang dipaparkan dalam kisah itu, terjadi di luar sana. Isu yang diangkat adalah tentang rumitnya emosi seseorang manusia.

Fiksyen berfungsi menyuntikkan elemen-elemen dramatik dan suspens agar naskhah menjadi lebih artistik. Lebih daripada teknik dan kaedah penyampaian, kedalaman isi jiwa manusia sering menjadi teras kejayaan sesebuah karya, walau sesederhana apa pun kisah yang ingin diangkat.

Tanpa manusia, naskhah sastera sudah tentu tiada jiwanya. Biar pun tidak sepenuhnya benar; tragedi tentang krisis psikologi kemanusiaan sejak zaman dahulu, mitologi Greek kuno, dikaitkan dalam tekstur sastera moden, demikian tulis Budi Darma dalam buku Pengantar Teori Sastra (Kompas, 2019):

‘‘Dalam menulis karya sastera, mungkin pengarang tidak tahu atau tidak sedar bahawa melalui interaksi para tokoh dalam karya sastera, sebetulnya dia mendedah masalah kejiwaan. Pembaca, sebaliknya, dapat merasakan kehadiran masalah kejiwaan yang terselindung dalam karya sastera itu. Kerana itu, sastera juga dapat menjadi sumber penting bagi para psikiatri dan ahli psikologi untuk melahirkan teori psikologi mereka.’’ (pada bab Psikologi dan Sastra).

Apabila ada sesuatu yang menyebabkan kedamaian dan kesenangan dalam jiwa terganggu, maka, sifat sebenar seseorang muncul di permukaan. Kebahagiaan adalah untuk dirinya semata-mata dan tidak mahu untuk dibahagikan dengan orang lain.

 Di luar, kelihatan normal dan tenang, namun tiada sesiapa mampu melihat kemelut yang sedang bergelora dalam jiwa seseorang.

Itulah hakikat yang sentiasa menghantui perkembangan fasa kehidupan manusia. Ia, sejak dahulu lagi, sumbu terpencil yang mencetus kepada pelbagai konflik sesama manusia di dunia, baik ahli keluarga, saudara-mara dan rakan.

Sehinggalah sampai ke tahap ekstrem, krisis berhubungan dengan jiwa itu mendorong seseorang melakukan jenayah. Apabila akal dan fikiran sudah tersumbat dengan kebencian, pembunuhan dijadikan pilihan untuk melunaskan desakan dalam jiwa.

Perkara itu dilakukan oleh salah seorang daripada watak dalam naskhah berunsur perbicaraan mahkamah itu.

Sama ada diekspresikan secara lahiriah atau dipendamkan dalam hati, kantung yang menakung beban emosi itu pasti akan meledak juga. Betapa kompleksnya masalah hati, kasih dan perasaan, dan disebabkan itulah manusia merupakan makhluk yang sukar diduga.

Pengarang, sebagai manusia yang berjiwa seni dan sensitif, sedaya upaya ingin menterjemahkan pemerhatian dan sudut pandangannya ke dalam karya kreatif. Lalu, terbentuklah sebuah naskhah yang tercetus daripada pemerhatian dan pemikiran.

Adakah karya kreatif semata-mata sebuah dunia rekaan yang dijana oleh imaginasi seseorang pengarang?

Suara pengarang muncul secara tidak langsung untuk menekankan sesuatu kritikan, pemikiran dan memperlihatkan situasi yang berlaku dalam sesebuah masyarakat di balik fiksyen.

Menerusi buku Teori Pengkajian Fiksyen, terbitan Gadjah Mada University Press, tulisan Burhan Nurgiyantoro, ditakrifkan bahawa prosa dalam pengertian kesusasteraan juga disebut fiksyen, teks naratif atau wacana naratif dalam pendekatan struktural dan semiotik. Istilah fiksyen dalam pengertian ini bererti cerita rekaan atau khayalan.

 Hal itu disebabkan fiksyen merupakan karya naratif yang isinya tidak menyarankan pada kebenaran faktual, sesuatu yang benar-benar terjadi. Takrifan ini akan terbantah apabila kita berhadapan dengan naratif sastera kontemporari.

Sebagai sebuah karya imaginatif, fiksyen menawarkan berbagai-bagai permasalahan manusia dan kemanusiaan, hidup dan kehidupan. Pengarang menghayati berbagai-bagai permasalahan tersebut dengan penuh kesungguhan yang kemudian diungkapkannya kembali melalui sarana fiksyen yang sesuai dengan pandangannya.

Oleh sebab itu, fiksyen, dapat diertikan sebagai prosa naratif yang bersifat imaginatif, namun biasanya masuk akal dan mengandung kebenaran yang mendramatisasikan hubungan-hubungan antara manusia.

Dengan kelebihan sebegitu, pengarang mengemukakan hal itu berdasarkan dari lensa pengalaman dan pengamatannya (selektif) terhadap situasi dan senario kehidupan.

Tetapi, jika sekadar berpaut pada bakat, minat, rajin dan peka semata-mata, ia belum memadai dalam bidang penulisan sastera. Pada dasarnya, naskhah ‘Siapa’ lebih menjurus kepada usaha mencari dalang dalam kes pembunuhan.

Maka, beberapa aspek kesenian lain (konflik dan karakter), kurang diperincikan untuk memperketat naskhahnya agar lebih tegang dan mendebarkan. Naskhah agak mendatar dan kurang mengejutkan.

Fiksyen, merupakan karya imaginasi yang dilandasi kesedaran dan tanggungjawab daripada segi kreativiti sebagai karya seni. Pengarang yang berdedikasi sudah tentu tidak akan menyiapkan sebuah naskhah secara sambil lewa hanya kerana ia dianggap fiksyen.

Sesebuah karya sastera yang baik, meninggalkan impak kepada pembaca, selain daripada kisah yang hendak diteroka, pembinaan karakter dan kedalaman dalam mengkaji jiwa watak.

Aspek sedemikian sering diabaikan. Watak canggih akan memandu plot yang mencengkam keseluruhan cerita naskhah.

Kisah yang dipaparkan bukan perkara kecil. Ia menyorot tentang kematian seseorang. Sudut pandang pelakunya, (masalah gangguan mental), sangat perlu untuk disuarakan agar jalinan cerita lebih terasa hidup dan meyakinkan. Pembaca sudah tentu teruja membaca kekacauan dalam jiwa pembunuh tersebut.

Oleh sebab sastera ialah cerminan kejadian dalam kehidupan, peranan pengarang tidak mudah dan sederhana. Insiden kematian Subang yang pada mulanya seolah-olah kes misteri, kemudian selapis demi selapis, didedahkan pembunuhnya.

Suasana persekitaran, watak-watak yang terlibat dan latar belakang insiden yang difokuskan, perlu dijalinkan dengan kemas, menarik dan meyakinkan.

Di sinilah keahlian seseorang pengarang dalam mengangkat kisahnya diperhatikan. Cerita tentang manusia tidak mudah, jika senang, ia barangkali kisah fantasi yang tidak terlalu melibatkan konflik kejiwaan para wataknya.

Sesi perbicaraan dalam mahkamah diringkaskan, dan individu yang bersembunyi di sebalik kematian tidak diduga Subang pun dikenal pasti.

Pembaca inginkan detik perbicaraan itu dijelmakan dengan suatu adegan menarik disertai sesi soal jawab yang menampilkan kecerdasan dan ketajaman kedua-dua pihak dalam menangani kes.

Namun dialog-dialog yang dilafazkan kelihatan ringan, kurang menekan dan sinikal untuk memperkuatkan nuansa keseriusan adegan. Jika ingin menggunakan dialog, pilihlah dialog-dialog yang belum pernah lagi ditulis oleh pengarang sebelumnya. Ia akan menyerlahkan kecerdikan pengarang.

Sharon, watak yang mula diperkenalkan, menggerakkan benang cerita sehingga ke bahagian penyelesaian kes. Subang merupakan kawan baik Sharon, malah dianggap sebagai kakak.

Hubungan mereka sudah pasti rapat. Dan Subang juga seorang penulis (pada waktu senggang) ketika tidak bekerja di kaunter dalam kedai 24 jam. Kematian mengejut Subang meninggalkan trauma kepada orang-orang yang rapat dengannya.

Apakah motif pembunuhan? Rompakan? Maka, sudah menjadi kewajiban Sharon untuk mengambil kes pembunuhan Subang sebagai ujian sulungnya sebagai peguam.

Ternyata, bukan orang lain, tetapi individu terbabit berkaitan dengan mangsa. Dalam diam-diam Sharon melakukan pemerhatian. Analisis Sharon tidak meleset dan ia meleraikan teka-teki kes pembunuhan.

Alangkah tajam dan mahirnya Sharon, selaku peguam, menilai profil seseorang yang dicurigai. Daripada pemerhatian dan penilaian yang teliti, Sharon sudah mula mengesyaki bahawa kes pembunuhan Subang berkaitan dengan emosi. Karakter dan kecenderungan sifat Chendai memancing perhatiannya.

Kombinasi antara punca kematian dengan tingkah laku seseorang berkaitan dalam sesebuah kes jenayah. Ia mengingatkan kepada salah watak dalam drama bersiri televisyen Amerika Syarikat, The Mentalist. Namun, adakah penilaian sedemikian mencukupi untuk mengheret Chendai ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman setimpal?

Atas alasan bagaimana Chendai didakwa sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan Sumbang? Hal itu juga menjadi persoalan. Selain beberapa bukti yang ditemui secara pembuktian fizikal, pengakuan daripada mulut suspek amatlah penting dan mengesahkan bahawa pembunuhan Subang memang sudah dirancang dengan teliti.

Pelakunya telah menyerah diri atas kelakuannya. Memang Chendailah si pelakunya. Bak kata orang, tiada jenayah yang sempurna dalam dunia. Gangguan mental yang dialami oleh Chendai memperkuatkan lagi naratif pembunuhan Subang. Tugas detektif dipermudahkan. Emosi seseorang manusia tidak boleh dipandang enteng.

Manusia itu spesies yang istimewa. Akal dan tingkah laku mereka kadang-kadang tidak sepadan dengan personaliti. Demikian kehidupan di alam nyata yang serba ruwet menjadikan fabrik masyarakat berlapis-lapis dengan kisahnya. Naskhah kelam yang dipaparkan oleh pengarang, hanyalah cebisan daripada senario kehidupan dalam masyarakat.

Dalam kes pembunuhan Subang, siapakah yang hendak dipersalahkan? Jemat? Ibu Chendai? Gadis muda itu tidak rela kasih yang sebelum ini dicurahkan oleh ibunya harus dikongsikan dengan pihak lain.

Chendai langsung tidak menunjukkan kesalan. Malahan terlihat berpuas hati. Wajah bengisnya sudah cukup memperlihatkan kebencian yang mendekam dalam jiwanya.

Watak Chendai sepatutnya diberikan tempat yang lebih luas untuk diperkembangkan. Dialah watak kompleks yang menjadikan garisan naskhah itu berlekuk dan tegang. Keegoan dan kenaifannya bertembung dengan fasa kehidupan orang dewasa.

Pada dimensi yang runcing dan sulit itulah pengarang perlu memberikan kesempatan kepada Chendai untuk diperdengarkan suaranya. Gunakan aliran kesedaran untuk Chendai meluahkan perasaan berkecamuknya.

Malangnya, pengarang tidak menyerlahkan karakter Chendai dengan sewajarnya. Dunia Chendai yang sempit dan tersembunyi itu diabaikan. Sekadar diperlihatkan sifat yang suka mengemas dan bertangan kidal serta gangguan mentalnya.

Sebagaimana dinyatakan oleh A.Teeuw dalam buku Sastra dan Ilmu Sastra (Pustaka Jaya) dalam bab “Karya Sastra dan Kenyataan”: ‘‘Sastera yang baik menciptakan kembali rasa kehidupan, kualiti dan susunannya. Menciptakan kembali keseluruhan hidup yang dihayati, kehidupan emosi, kehidupan budi, individu dan sosial, dunia yang sarat objek. Hal ini diciptakan bersama-sama dan secara saling berjalinan, seperti terjadi dalam kehidupan yang kita hayati sendiri. Sastera yang baik menciptakan kembali tekanan-tekanan kehidupan.’’

Kewujudan watak seumpama Chendai di dunia nyata agak menarik untuk dijadikan subjek penulisan. Jiwa mereka halus dan hanya mampu dimengerti jika didekati dengan penuh hikmah.

Cara mereka menjalani kehidupan dan tingkah laku yang mungkin merimaskan orang lain, membezakan ragam sosial dari sudut mikro. Dan bahagian yang mustahak ialah kerapuhan emosi mereka yang terselindung dari dalam hingga mendorong untuk hidup secara nokturnal.

Sangatlah berbahaya andai privasi yang dipertahankan mereka dicerobohi. Lihatlah bagaimana kesan dan contohnya, dalam kes pembunuhan yang dibicarakan melalui naskhah ‘Siapa’, Subang menjadi mangsa.

Subang yang juga merupakan anak kepada Jemat, dibunuh kerana Chendai tidak mahu kasih sayang emaknya dibahagikan kepada orang lain. Kehadiran Jemat, sebagai ayah tiri, menebalkan kejengkelan Chendai.

Tema yang diangkat pengarang naskhah ‘Siapa’, sebenarnya berat dan memerlukan sedikit ilmu bantu (psikologi dan perundangan) untuk memantapkan beberapa bahagian agar naratif terasa hidup dan menyerlahkan kesungguhan kerja dari penulisnya.

Sebagaimana pekerjaan lain, penulisan karya sastera bukan semata-mata memindah idea dan ilham ke dalam bentuk kreatif.

Jika ingin serius dalam bidang penulisan, tiada jalan lain, perbanyakan bahan dan sumber bacaan yang akan menganjakkan cara berfikir (kritikal) dan wawasan. Barulah bidang sastera dipandang dengan hormat oleh masyarakat luar kerana kredibiliti pengarangnya.

Biarpun tidak sepenuhnya benar, tetapi apa yang digambarkan di dalamnya tentang kemelut kemanusiaan, wujud dan berlaku. Manusia seperti Chendai perlukan perhatian, bimbingan dan diperuntukkan perhatian khusus.

Benar, dia memang salah, tetapi masyarakat tentu tidak mahu lagi kes seperti itu berulang kerana kelalaian kita. Chendai membunuh kerana kenipisan pemikiran dan gangguan mentalnya tambah mencelarukan cara berfikir waras.

Itulah sulit dan rumitnya dunia dalaman manusia. Kes pertama yang ditangani Sharon pasti meninggalkan kesan parut tragis pada masa depannya kelak. Maklum, mangsa amat rapat dengan dirinya.

Demikianlah pada batas dan ruang, sebagaimana dinyatakan Burhan Nurgiyantoro daripada buku yang disebutkan, fiksyen menceritakan berbagai-bagai masalah kehidupan manusia dalam interaksinya dengan lingkungan dan diri sendiri.

Kendatipun berupa hasil kerja imaginasi, khayalan, tidak benar jika fiksyen dianggap sekadar hasil kerja lamunan belaka, melainkan suatu penghayatan dan perenungan yang mendalam, tentang hakikat hidup dan kehidupan dengan penuh kesedaran dan rasa bertanggungjawab.

Seperti dikemukakan di atas, ada perbezaan antara kebenaran dalam dunia fiksyen dan kebenaran pada dunia nyata. Kebenaran dalam dunia fiksyen ialah kebenaran yang sesuai dengan keyakinan pengarang.

Hal ini kerana, sesuatu yang tidak mungkin terjadi dan tidak dianggap benar di dunia, dapat sahaja terjadi dan dianggap benar dalam dunia fiksyen.

Oleh Roslan Jomel

Continue Reading

Previous: Sarawak pelopor gabung teknologi dan alam semula jadi tangani krisis iklim
Next: Cef Zhenjiang tampil bawa mi terbaik China ke Festival Makanan Kuching 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.