
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee menggesa ibubapa agar meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama anak-anak dalam dunia digital masa kini yang semakin mencabar.
Beliau berkata, perkembangan teknologi dan kesibukan kerja menyebabkan hubungan antara ibubapa dan anak-anak menjadi semakin jauh, sekali gus boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan keluarga.
“Dalam era digital ini, ramai ibubapa terlalu sibuk bekerja demi keluarga sehingga kurang masa bersama anak-anak. Anak-anak pula lebih banyak bergantung kepada peranti digital, internet dan media sosial. Keadaan ini boleh menyebabkan hubungan menjadi tegang dan kadangkala membawa kepada tragedi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Perayaan Kuih Bulan anjuran Pusat Khidmat N.54 Pelawan di sini, malam tadi.
Menurut Tiang, walaupun sambutan perayaan itu telah berlalu, majlis berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada ibubapa dan anak-anak berkumpul serta menikmati masa bersama.
“Perayaan Kuih Bulan melambangkan perpaduan dan kebersamaan keluarga. Sama seperti bulan purnama yang penuh, ia mengingatkan kita tentang pentingnya keluarga berkumpul dan menghargai detik kebersamaan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada apa yang dapat menggantikan interaksi secara langsung antara ibubapa dan anak-anak melalui aktiviti seperti itu.
“Kita mahu mewujudkan ruang untuk mereka bergembira, mengambil gambar, merakam video dan menikmati masa indah bersama. Momen seperti ini amat berharga dan tidak boleh digantikan oleh teknologi,” katanya.
Oleh Tarani Lanting